Penyanyi Lah Ahmad dedah pernah merasai zaman kejatuhan sekitar tahun 2013 iaitu selepas berundur dari kumpulan VE.

Kata Lah atau nama lengkapnya Abdullah Ahmad, 42, ujian demi ujian dilalui demi kelangsungan hidup menyara keluarganya yang ketika itu mempunyai dua orang cahaya mata.

“Zaman susah saya sekitar tahun 2013 itu di mana saya diberi pelbagai ujian oleh Maha Esa terutama dalam menyara keluarga ketika itu.

“Ada satu masa saya berdoa kepadaNya yang saya hendak meneruskan kerjaya seni ini, bukan sebab nak glamour atau hendak membuat perkara tak elok...Malah saya beritahu saya nak cari rezeki dan kembali padaNya sebab saya nak sara dan jaga keluarga saya sahaja.

“Jadi masa tu saya akui Allah ada buka jalan sedikit demi sedikit tetapi Dia mula bagi ujian sama ada saya kuat atau tidak nak hidup tanpa duit. Masa itu nak beli pampers (lampin pakai buang) tak ada duit, nak beli susu pun kena korek sana sini dan kadang-kadang tak cukup,” luahnya.

Bekas ahli kumpulan VE itu berkongsi cerita dukanya itu selepas sidang media Soundvalley Festival 2023 pada minggu lalu.

Tambah Lah ketika dia bergerak solo, ramai tidak tahu kesusahannya waktu itu kerana dia sendiri tidak mahu menagih simpati sesiapa.

“Pernah satu ketika orang nak tengok saya atas stage minggu depan hari Sabtu ni tapi hari ini nak beli susu anak pun tak ada duit jadi kena lah pergi kerja juga.

“Masa tu susah nak telan, tapi kerjaya penyanyi ni kene nampak gah atas pentas…Tak mungkin saya hendak pakai selekeh sahaja sebab saya tak nak tunjuk masalah saya kerana di atas pentas dan penonton hanya mahu berhibur sahaja.

“Orang tak nampak dan tak tahu kesusahan saya masa itu kerana bagi saya , ramai lagi orang yang susah di luar sana,” ujarnya.

Lah yang popular dengan lagu Ayu itu bertemu jodoh dengan Yasrina Yusoff pada 2007 dan dikurniakan tiga anak iaitu Amira, 13, Adam, 11 dan Azim, 8.

Untuk rekod, pada bulan lalu, Lah telah menjayakan konsert solonya yang pertama, 25 Years Lah Ahmad Live bersempena pembabitannya selama 25 tahun dalam bidang seni.

Lah bakal menjayakan persembahan di SoundValley Festival 2023 yang akan diadakan di MAEPS, Serdang pada 6 dan 7 Mei depan.