Menghasilkan lagu bersama Zynakal, penulis lirik, komposer dan penyanyi rap Yonny Boii mendedahkan lagu Sakit pada awalnya berjudul ‘Zyn Jangan Sedih’.

Menurut Yonny, Sakit adalah karya yang ditujukan khas buat Zyn selepas dia bersimpati terhadap situasi yang dihadapi rakan baiknya itu.

Tambah Yonny, lagu berkenaan juga pada awalnya dicipta untuk dinyanyikan secara solo sebelum ia diubah menjadi lagu duet di saat akhir.

"Lagu ini memang ikhlas saya cipta untuk Zyn ketika dia ditimpa masalah sekitar Oktober tahun lalu. Saya nampak dia macam hilang arah dan tak tahu mana nak mengadu.

"Jadi saya buat lagu ini untuk beritahu yang saya ada untuk dia. Kalau ada masalah boleh datang mengadu dekat saya," katanya.

Tambahnya, lagu berkenaan mula menarik perhatian Zyn apabila dia keluar dari hospital sekitar Disember.

"Selepas mendengar lagu tersebut barulah Zyn menunjukan minat untuk berkolaborasi. Disebabkan itulah tajuk lagu itu terpaksa ditukar, malah lirik juga Zyn ubah untuk meluahkan penderitaan dilaluinya sebelum ini.

"Setiap bait yang ditulis adalah jujur dan ikhlas," katanya.

Yonni ditemui ketika sidang media pelancaran lagu terbaru berjudul Sakit di pejabat Indigital Music, Damansara Perdana, baru-baru ini.

Lagu Sakit yang diedarkan sepenuhnya oleh Indigital Music ini telah pun mencatat hampir lima juta tontonan di YouTube dalam tempoh dua minggu dikeluarkan.

Untuk rekod Zyn mencetuskan kontroversi apabila mencekik seorang pekerja stesen minyak dan menghalang tugas anggota polis.

Akibat tindakannya itu, dia telah didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ampang Kuala Lumpur.

Susulan daripada itu juga, Zyn dihantar untuk mendapatkan rawatan di wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur.

Penyanyi yang popular dengan lagu Terbang itu juga disahkan menghidapi penyakit bipolar mania iaitu salah satu penyakit gangguan mental.


BACA: Masalah Mental Mungkin Ada Kaitan Zynakal Cekik Pekerja Stesen Minyak

BACA: Penyakit Bipolar Mania Berpunca Daripada Pengaruh Dadah & Kecaman Netizen? Ini Penjelasan Zynakal!