Kesemua pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga kini diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19.

Keputusan itu diumumkan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud.

Menurut beliau, semua bakal pengantin dari mukim, daerah dan negeri yang diisytiharkan zon merah oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu menjalani saringan sebelum menjalani akad nikah di Kedah.

Jelasnya, ujian tersebut walaubagaimanapun boleh dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan yang diiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM).

“Tidak kiralah kerajaan atau swasta dengan kos ujian atas tanggungan sendiri.

"Bakal pengantin yang berlainan daerah dan negeri pula hendaklah mendapat kebenaran merentas daripada pihak polis.

“Pihak HEAIK dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) tidak akan mengeluarkan sebarang surat sokongan untuk tujuan berkenaan (merentas daerah atau negeri)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah, Mohd Yusri lagi, akad nikah juga hanya akan dilaksanakan di PAID.

“Akad nikah hanya boleh dihadiri jurunikah, saksi, pengantin lelaki dan perempuan serta seorang wali dengan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19,” katanya.