Pelakon Elfira Loy, 26, tidak senang melihat kelakuan segelintir masyarakat yang melanggar perintah kerajaan dengan melakukan aktiviti ziarah-menziarahi sehingga kini.

Menurut Elfira, akibat perkongsian yang tidak bermoral itu ramai yang terpengaruh sehinggakan menjadi ikutan.

"Minta maaf kalau post ini menggores hati sesiapa. Saya rasa, menjemput orang, berjumpa dengan rakan dan keluar bersiar itu merupakan pilihan anda sendiri.

"Tapi apa yang kurang menarik apabila awak paparkan perkara itu di Instagram.

"Sesetengah orang akan fikir ia perkara yang betul dan boleh dilakukan. Segelintir orang mahu melakukan perkara yang sama," tulisnya.



Elfira memuat naik pandangan itu menerusi sebuah entri yang dimuat naik di Instagram Stories.

Dalam pada itu, pemilik nama Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri turut menasihati kepada orang yang masih degil supaya berhenti kongsi aktiviti beraya di platform media sosial.

"Walaupun anda bersihkan diri dengan semburan pembersih alkohol.. ia tidak akan berkesan

"Nak buat benda salah jangan 'show off' la itu saja cerita dia. Simpan saja kenangan itu," tulisnya lagi.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan aktiviti ziarah-menziarah pada musim perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri hanya dibenarkan pada hari pertama sahaja dan terhad kepada ahli keluarga terdekat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).