Penyanyi rock legenda, Datuk Awie kesal apabila ada segelintir pihak yang sesuka hati melemparkan tuduhan tidak berasas terhadapnya selepas tular video di sebuah majlis baru-baru ini.

Menurut Awie, beliau juga sudah memberikan keterangan kepada pihak polis berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Keterangan sudah diberikan dan saya bersyukur pihak polis memberikan layanan yang baik sepanjang proses siasatan.

“Saya juga sudah menceritakan keadaan sebenar yang berlaku ketika itu. Apa yang boleh saya katakan, sepanjang majlis semua patuh SOP.

"Dari awal lagi, segala pergerakan ikut SOP yang betul. Masuk hotel pun ikut SOP, buat majlis pun ikut SOP yang betul. Ada My Sejahtera, check suhu, buku rekod dan sebagainya.

“Saya percaya yang masuk semua dah diambil suhu dan okay. Tapi nak buat macam mana bila video dah disiarkan sebegitu rupa, mereka yang tak tahu cerita terus hentam saya.

"Cuma masa kejadian yang berlaku tak sampai dalam 30 saat itu. Saya berdiri di situ kerana sambutan mereka. Saya sendiri rasa teruja dan sangat terharu dengan sambutan abang-abang beca berkenaan," katanya.

Syukur alhamdulillah pada tanggal 7.5.2021, Misi Kemanusiaan Satu Kayuhan Satu Zikir yang dicetuskan oleh Dato' Awie...

Posted by Sayap-Sayap Wings on Sunday, 9 May 2021
Terdahulu, sebuah video berdurasi 42 saat yang diambil pada majlis berbuka puasa Misi Kemanusiaan Datuk Awie Bersama Sayap-Sayap Wings yang berlangsung di Melaka pada 7 Mei lalu mencetuskan kontroversi dan didakwa melanggar SOP.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Awie berkata seorang bapa yang mempunyai keluarga dan anak kecil tidak mungkin akan melanggar SOP sewenang-wenangnya.

"Dalam video tu dari posisi depan memang nampak macam rapat, tapi sebenarnya ada penjarakan fizikal.

“Takkanlah saya nak bodohkan diri saya. Saya ada anak kecil di rumah dan perlu jaga kesihatan. Saya pun tahu hal ini.

“Saya cuma mahu meraikan dan membuat mereka yang berada dalam kesusahan ini gembira. Lagi-lagi dalam keadaan sekarang.

“Pelancong pun tak ada, dari mana mereka nak raih pendapatan? Niat saya mahu membantu dan memberikan sumbangan apa yang termampu. Takkan itu pun salah?,” katanya.

Menurutnya dia yang berada di meja hadapan melihat golongan ini yang berada di bahagian belakang mula menyanyi.

"Mereka dah berdiri menyanyi sambil ambil video kat depan. Saya pun bangun dan meraikan bersama-sama. Tapi, ada penjarakan. Selepas itu, saya minta mereka duduk dan ikut SOP.

"Saya panggil ahli jawatankuasa dan abang beca semua dengar cakap. Mereka pun dalam keadaan yang sangat gembira,” ujarnya.

Dalam pada itu, Awie berkata beliau sempat meminta penarik beca yang hadir pada majlis berkenaan supaya tidak bersedih.

"Mereka tak pernah diraikan oleh artis. Saya nak mereka gembira, dapat beraya macam kita,” ujarnya.