Dua hari lalu ternampak keluhan beberapa selebriti mengenai individu yang berani menghubungi mereka secara peribadi di media sosial dan di telefon bimbit kononnya memerlukan bantuan.

Menerusi pemerhatian Nak Cakap Sikit, selebriti ini bukanlah kedekut tidak mahu menghulurkan bantuan, namun bimbang ditipu individu yang cuba mengambil kesempatan.

Sebelum ini pun selebriti kita tidak berkira untuk mengeluarkan wang kepada sesiapa sahaja yang meminta pertolongan.

Baru-baru ini ada kes, seorang wanita kononnya memerlukan RM30 untuk belanja makan dan minum atas alasan suaminya tidak bekerja.

Rupa-rupanya selepas diselidik, wanita itu menggunakan modus operandi sama kepada semua selebriti.

Ya, memang amaun yang diminta tidak banyak sekitar RM30 hingga RM100 tetapi bayangkan kalau 10 orang beri RM30? Dah dapat RM300 secara percuma! Hanya duduk goyang kaki tunggu duit masuk akaun.

Nak Cakap Sikit tak pukul rata, tetapi perbuatan segelintir manusia tidak bertanggungjawab ini menyebabkan orang lain yang benar-benar memerlukan tu…terkesan!

Tak rasa bersalah ke? Janganlah menuding jari kata rakyat Malaysia yang hidup senang atau diberikan rezeki lebih ni kedekut, bakhil sampai RM30 pun tak boleh nak bagi…Macam mana nak bagi kalau awak pun diragui?

Ni nak cakap sikit…Di Malaysia banyak saluran bantuan yang boleh dirujuk…Cubalah mohon, mana tahu ada rezeki.

Lagi satu, kalau masih ada kudrat cubalah cari rezeki dengan cara yang halal, bukan menipu dan mengambil kesempatan.

Kasihan kepada orang lain yang betul-betul susah tu…Yang hulur bantuan tu pun jadi sangsi disebabkan golongan ambil kesempatan ni!

Apapun jangan lupa niat awak tu Allah SWT tahu. Lagi pun zaman serba canggih ni sekejap sahaja identiti awak boleh didedahkan.

Kalau tak malu dengan diri sendiri, malulah dengan Allah SWT.

Tepuk dada tanya iman! Dah masuk 1442H ni, harap berubahlah sempena tahun baru...