Sebuah drama bersiri berjudul Potong yang bersiaran di saluran Astro Warna menggunakan dialek bahasa Perak yang kini dikatakan diancam ‘kepupusan’.

Diarahkan oleh Datuk Jurey Latiff Rosli, drama Potong dibintangi Hazama, Kazar, Lan Siro, Dalimawarti dan ramai lagi.

Potong mengisahkan pemuda bernama Midun yang menyambung legasi perkhidmatan berkhatan tradisional peninggalan arwah bapanya, seorang tok mudim handal di kampung.

Dengan bantuan rakan arwah bapanya Mustafa, dia berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik. Namun khidmatnya mula tergugat dengan kedatangan perubatan moden yang dibawa oleh Dr Nur.

Menjalani penggambaran di sekitar negeri Perak antaranya Lenggong, drama bersiri 18 episod ini merangkumi 18 kisah berkhatan di sebuah kampung yang aman dan damai.

Semalam, BH Online melaporkan dialek Perak sudah jarang digunakan kerana golongan muda berasal dari Perak tidak berminat lagi menuturkannya.

Memetik laporan yang sama, Pensyarah Pusat Kajian Bahasa & Linguistik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Nor Hashimah Jalaluddin berkata antara faktor generasi muda Perak tidak lagi berminat bertutur dalam dialek berkenaan kerana berasa malu selain lebih selesa berbahasa baku.

“Mereka juga mungkin tinggal di luar Perak dan dialek itu tidak lagi digunakan dalam perbualan dengan ahli keluarga atau kawan-kawan,” ujar beliau lagi.

Potong bersiaran setiap hari Selasa, 9 malam di saluran Astro Warna (107) atau strim di Astro Go atau Ultra Box.