Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

Nak Cuba Rentas Negeri Sambut Puasa? Kalau Kantoi Tak Ada Nasihat, Saman Terus!

Maliah Surip 05/04/2021 | 23:50 MYT
Kalau saat ini ada yang mencongak untuk pulang menyambut Ramadan di kampung halaman, rasanya hasrat tersebut sudah boleh dikuburkan.
Hal ini kerana Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim mengatakan individu yang dikesan cuba merentas negeri untuk balik ke kampung bagi menyambut hari pertama Ramadan akan berdepan dengan tindakan saman.
BERNAMA melaporkan, pemeriksaan ketat di semua sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri akan dipertingkatkan dan hanya mereka yang mempunyai dokumen kebenaran rentas negeri yang lengkap dan diluluskan dibenar meneruskan perjalanan.
"Saya percaya hujung minggu ini akan terdapat peningkatan pergerakan di jalan atau lebuh raya untuk pulang ke kampung bagi meraikan hari pertama Ramadan memandangkan tahun lepas mereka tidak dapat pulang kerana Perintah Kawalan Pergerakan.
"Sekiranya anggota atau pegawai polis mengesan individu cuba merentas negeri untuk balik ke kampung, tiada nasihat lagi...ambil tindakan terus," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Satu Taman Satu Polis Dan Fokus Polis Diraja Malaysia Kontinjen Melaka 2021 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata pertambahan jumlah SJR juga akan dilakukan bergantung kepada jumlah harian kes positif COVID-19 yang dilaporkan dan setakat ini sebanyak 30 hingga 35 SJR dilaksanakan di setiap pintu keluar dan masuk serta sempadan negeri di seluruh negara.
"Sekiranya jumlah kes positif COVID-19 meningkat, kita akan tambah SJR dalam usaha meminimumkan pergerakan individu atau kenderaan agar penularan COVID-19 dapat dikekang," katanya.
Kredit Foto: MStar
#Ramadan #saman #COVID 19 #SOP #Rentas Negeri
;