Pengarah Projek: Anchor SPM mendedahkan beberapa cabaran yang terpaksa ditempuhi dalam menghasilkan drama bersiri premium tersebut.

Menurut Razaisyam Rashid, perkara paling mencabar adalah mencari lokasi penggambaran itu sendiri memandangkan ketika itu baru saja habis Perintah Kawalan Pergerakan 1.0.

Jelasnya, situasi pandemik yang masih belum reda menyebabkan tempoh untuk mendapatkan sekolah sangat lama.

“Memang waktu Covid ni kita berdepan dengan banyak cabaran tapi paling susah nak cari sekolah, ambil masa sebulan juga.

“Selain itu nak cari pelakon ekstra pun bukan mudah, bila dah dapat pula kita kena kuarantin mereka supaya tak ada movemen yang ketara.

“Jadi anda akan lihat pelakon ekstra ini sendiri akan ‘hidup’ bersama sekolah itu sendiri,” katanya.

Jelasnya, disebabkan Projek: Anchor SPM berlatar berlatar belakangkan tahun 2003, sebahagian props juga diambil daripada tahun tersebut.

“Penonton akan lihat balik barang-barang atau gajet lama yang sekarang orang sudah tak guna lagi pun.

“Ada Nokia 3310, Discman, Mp3 player dan banyak lagi,” katanya kepada

Untuk rekod, Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij.

Isu mula tercetus apabila Aizat lakonan Aedy Ashraf terdesak cuba mencari jalan mendapatkan keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPPM.

Aizat akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa (Daiyan Trisha), dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan- rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.

Drama ini turut dilakonkan oleh Nadhir Nasar (Hilmi), Chubb-E (Botol), Shasha Abedul (Jaja) serta nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat Tony Eusoff dan Susan Lankester.

Apapun, saksikan ‘Projek: Anchor SPM akan ditayangkan di saluran Astro Citra pada jam 9.00 malam, bermula 15 Mac ini.

Untuk pilihan alternatif, penonton juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.