Laman Utama
"Nak Jadi Negro Kenapa?" - Vanessa Reynauld Tersinggung Disuruh Luruskan Rambut, Tukar Make Up Demi Nak Popular
Bintang rancangan The Masked Singer, Vanessa Reynauld tampil menjawab komen berbaur rasis dan body shaming seorang pengguna di media sosialnya baru-baru ini.
Kata Vanessa, 21, dia tampil untuk mengulas mengenai komen melampau itu dan menegaskan kata-kata sedemikian tidak menjejaskan pendiriannya.
"Saya tak mahu memberikan perhatian seperti yang dia mahukan tetapi komen ini melampau dan saya perlu katakan sesuatu.
"Komen ini sangat biadab, berani betul kamu menggunakan perkataan itu (negro). Tahu tak itu perkataan yang sensitif.
"Saya mengambil tempoh yang lama untuk menerima siapa diri saya dan kamu fikir kamu boleh datang dan membuat kacau?
"Tidak! Saya tidak terganggu pun dengan komen kamu tapi cara kamu menulis komen di ruang orang lain itu yang membuatkan saya jelik.
"Apa yang kamu cuba sampaikan? Tahu tak karma, apa yang kamu buat akan terkena diri sendiri?" tegasnya menerusi Instagram Stories.
Tambahnya, dia tidak akan sesekali mengubah penampilan dirinya demi memuaskan hati individu lain yang tidak dikenalinya.
"Saya tidak akan mengubah diri saya kerana orang lain Kalau saya tak gembira dengan diri saya baru saya akan mengubahnya bukan kerana komen bodoh itu.
"Katanya kalau saya luruskan rambut dan tukar make up saya akan lebih popular. Boleh saya tahu tahun berapa kamu hidup atau berapa usia kamu sebab kedengarannya sangat kebudak-budakan.
"Setahu saya pada tahun 2021 orang lebih terbuka dan menerima satu sama lain. Kamu sangat jumud. Katanya saya tak popular kerana tidak cantik, saya lebih rela menjadi diri sendiri daripada mengubah siapa saya demi orang lain.
"Hakikatnya, bagaimanapun rupa saya akan tetap ada yang suka dan tidak suka. Jadi, saya tak tahu apa niat kamu menulis komen itu. Kelirunya!" tambahnya.
Terdahulu, Vanessa memuat naik tangkap layar komen pengguna di muzik video lagu terbaharunya di YouTube berjudul Putus yang menyifatkan popularitinya tidak kemana dengan imej sedia ada.
"Vanessa ubahlah gaya awa tu, nak pergi nyanyi kat negro sana oklah, Malaysia ni tak pandang gaya macam ni. Bukan nak kutuk, awak tu lawa je. Tapi nak jadi negro kenapa?
"Buat rambut hitam balilk, luruskan. Mekap nice-nice dan cari komposer lain yang pandai buat lagu," tulis individu itu.
Must-Watch Video