Penceramah bebas Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim menegaskan supaya tidak menjadikan darjat sebagai penghalang untuk mendirikan rumah tangga.

Kata Ustaz Kazim, dalam Islam cukup sekiranya dia mempunyai agama dan akhlak yang baik.

Ustaz Kazim menjawab persoalan terbabit dalam episod pertama program Lawak Tak Lagha musim kedua yang sudah bersiaran pada 11 Jun lalu.

"Kulit kita sama, darah sama, warna rambut pun sebab sama sebab kita asal daripada tempat yang sama. Kita dijadikan daripada tanah sama saja. Tak ada beza pun.

"Tapi kenapa bila nak kahwin ada perbezaan darjat? Awak orang miskin saya orang kaya. Islam tak letak begitu.

"Islam kata kalau boleh cari yang berasaskan kepada agama. Siapa pun dia, rupa dia macam mana, yang penting sekali nombor satu adalah agama. Kedua adalah akhlak. Cukup cantik dah," katanya.



Tambah Ustaz Kazim, tidak seharusnya untuk melengkapkan empat perkara iaitu agama, keturunan, kecantikkan dan harta dalam bab perkahwinan.

"Tak wajib untuk kita cari empat ciri iaitu agama, keturunan, kecantikan dan harta. Letihlah nak mencari. Kalau dapat tu memang untung sangat.

"Yang penting sebab apa kita berkahwin. Dalam banyak-banyak itu kata Rasulullah kerana agamanya. Bila agamanya kita kahwin, kita dapat semua sekali," katanya lagi.

Selain Ustaz Kazim, Lawak Tak Lagha 2 turut dikendalikan oleh pelawak dan pengacara Ajak Shiro dan Atu Zero.

Jangan lupa saksikan Lawak Tak Lagha 2 setiap Khamis jam 9.00 malam.

Program ini ditayangkan secara langsung menerusi saluran Warna HD 107 dan Astro Warna 127.