Berita
"Nak Keluar Pun Takut, Jadi Macam 'Mental'" - Gara-Gara Covid Meningkat, Stacy Bimbang Keluarga Di Sabah
Penyanyi Stacy meluahkan rasa bimbang dengan keadaan keluarganya di Sabah, lebih-lebih lagi apabila kawasan perkampungnya di Penampang, Sabah berada dalam zon merah.
Menurut Stacy atau nama sebenarnya, Ummu Syaikhah Stacy Anam, 30, situasi itu secara tidak langsung membuatkan ada ahli keluarganya yang seolah-olah terkena serangan panik.
"Kadang-kadang mak saya sendiri sampai 'mental'. Rasa macam susah nafaslah, padahal tak ada apa-apa pun. Macam orang kena panik. Mengadu pening kepala, penat, jadi macam 'mental' sebab risau.
"Lagipun kes di sana semakin meningkat, sesiapa pun boleh kena," katanya kepada Astro Gempak.
Menurut Stacy lagi, mengikut perancangan awal, ibunya mahu bertandang ke semenanjung untuk menziarahinya di ibu kota.
Bagaimanapun, hasratanya itu terpaksa dilupakan selepas kerajaan mengenakan syarat untuk melakukan ujian saringan.
"Mak memang selalu datang ke rumah saya di sini. Cuma, hari itu tak sempat datang dah keluar arahan perlu buat ujian saringan kalau nak ke Semenanjung.
"Jadi itu yang dia takut (buat ujian). Saya sendiri dah nak dekat dua tahun tak balik Sabah sebab mak yang biasa turun ke sini kerana ada adik-beradik lain juga di sini," katanya.
Dalam pada itu, menurut Stacy lagi, dia juga memilih untuk terus duduk di rumah jika tiada keperluan penting.
"Saya banyak buat pesanan sahaja guna Grab. Nak beli makan atau barang dapur pesan sahaja.
"Sudah berbulan tak keluar ke pusat beli-belah, memang duduk di rumah sahaja dengan anak-anak.
"Kalau terpaksa keluar pun hanya pergi kedai berdekatan dengan rumah. Takut nak pergi jauh-jauh. Nasib baik anak-anak pun faham keadaan sekarang," katanya.
Sebagai info, Lembah Klang dan Sabah kini sedang menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sudah dilanjutkan sehingga 9 November ini.