Gaya Hidup

“Nak Mandi Kuih Atau Apa, Yang Penting Laku” – Pertubuhan Agih Balang Kosong Untuk Ahli Mula Berniaga Ketika Pandemik

gempak
Amri Hassan
04/12/2020
05:34 MYT
Sponsor Banner
“Nak Mandi Kuih Atau Apa, Yang Penting Laku” – Pertubuhan Agih Balang Kosong Untuk Ahli Mula Berniaga Ketika Pandemik
Balang kosong sebagai dana untuk memulakan perniagaan. Mungkin kedengaran pelik, namun itu antara langkah yang diambil oleh sebuah pertubuhan sebagai galakan bagi ahlinya menjana pendapatan berbanding hanya menerima bantuan semata-mata.
SBR Kencana Global Resources melalui Pertubuhan Kebajikan Sentiasa Bersama Rakyat Malaysia (PKSBRM) menyalurkan dana perniagaan RM2,000 seorang, kepada 1,000 ahlinya di seluruh Malaysia sebagai usaha membantu menjana pendapatan mereka.
Lebih menarik sebanyak 800 balang kuih kosong juga diberikan kepada kesemua penerima dana itu sebagai permulaan mereka memulakan perniagaan makanan membabitkan biskut seperti kuih raya.
Pengurus SBR Kencana Global Resources merangkap Pengerusi PKSBRM Datuk Seri Sabariah Hashim berkata, dana itu diberikan bagi membolehkan ahli memulakan perniagaan.
“Kita juga berikan mereka balang kosong untuk isikan kuih dan kemudian kita yang akan pasarkan kuih berkenaan bukan saja di pasaran tempatan tetapi juga luar negara.
“Mereka yang menerima dana ini ialah ahli berdaftar PKSBR yang sah dan menerima faedah ini. Mereka tidak perlu risau barang mereka tidak dapat dipasarkan kerana kami akan uruskan semua,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan dana itu di Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Selain Pahang, kesemua ahli di 11 negeri lain kecuali Sabah dan Sarawak juga akan menerima dana yang sama.
Sabariah berkata, semua produk itu akan dipasarkan menerusi SBR Kencana Global Resources yang menjadi pengerak utama pertubuhan berkenaan serta berperanan membantu merancakkan ekonomi Bumiputera di negara ini.
“Mereka (ahli) tidak perlu risau, sediakan produk dan kita jual, sama ada kami hendak ‘mandi’ kuih atau apa sekalipun, yang penting produk mereka laku.
“Sebagai permulaan kita minta produk biskut dan kuih raya dan mereka perlu pastikan ia adalah hasil tangan mereka sendiri bukannya dibeli secara pukal dari pengeluar,“ katanya.
Sabariah berkata, usaha itu juga dilakukan bagi meringankan beban ahli dalam berdepan dengan cabaran semasa ekoran pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara.
Tambahnya, menerusi usaha itu ia mampu memberikan peluang kepada ahli menjana pendapatan termasuk bagi sesetengah mereka yang hilang punca rezeki.
“Kita faham dalam suasana sukar ini ramai yang hilang punca pendapatan jadi kami perkenalkan usaha ini supaya ahli berpeluang membabitkan diri dalam perniagaan seterusnya mendapat hasil.
“Usaha ini juga berterusan dan tidak hanya terhad untuk pasaran tempatan tetapi juga negara luar termasuk Singapura, Indonesia, Brunei dan China,“ katanya.
Sabariah berkata untuk jangka masa panjang pelbagai produk lain juga akan dibuka untuk ahli terbabit memulakan perniagaan seperti pewangi, penjagaan badan dan pakaian.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live