Berita
"Nak Merasa Juga, Umur Makin Meningkat"- Hael Husaini Buat Lagu 'Bujang' Sebab Tahun Akhir Hidup Solo?
Penyanyi Hael Husaini menafikan dakwaan yang kononnya, ciptaan single terbaharunya berjudul 'Bujang' sebagai gambaran kepada perancangannya untuk mengakhiri zaman solo pada tahun ini.
Menurut Hael atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi, 33, lagu tersebut hanyalah satu bentuk dedikasi yang dituju khas untuk individu berstatus bujang sepertinya.
"Eh tak adalah (tahun akhir bujang). Saya buat lagu itu sebab ramai kawan-kawan yang masih bujang dan menanti jodoh, termasuklah diri saya sendiri.
"Kalau nak ikutkan sekarang di radio lebih kepada lagu berunsurkan cinta dan putus cinta, jarang kita nak dengar lagu orang nak nyanyi untuk orang solo. Tak kan orang solo ni tak boleh ada lagu," katanya kepada Gempak.
Begitupun, Hael tidak menafikan bahawa lagu itu merupakan sebahagian daripada gambaran hidupnya kini.
Katanya, karya itu salah satu luahan yang lahir daripada hatinya sebagai insan yang masih belum memiliki pasangan.
"Boleh juga kata luahan hati saya sebab saya sendiri masih juga bujang.
"Saya tak ada lagi lagu-lagu yang saya nak enjoy, jadi inilah untuk lagu untuk siapa-siapa yang bujang.
"Orang selalu kaitkan kalau hidup bujang, sedih, duduk bucu katil, tengok tepi tingkap, jadi apa kata malam ni kita keluar mencari cinta (bait lirik)," katanya.
Katanya lagi, buat masa sekarang, dia masih belum lagi menemui wanita yang boleh dijadikan sebagai teman hidupnya.
Bagaimanapun, situasi itu tidak pernah menjadikan dirinya berada dalam keadaan tertekan.
"Saya masih mencari. Okay je menjadi seorang bujang. Umur semakin meningkat, terfikir gak seronoknya kalau kahwin.
"Tak ada tertekan, tapi kalau boleh nak juga merasa. Kena mencari dan berdoa semoga yang baik-baik (calon) datang," katanya.
Sebelum ini, Hael sering dikaitkan kononnya mempunyai hubungan istimewa dengan penyanyi Dayang Nurfaizah.
Bagaimanapun, kedua-duanya menyifatkan keselesaan mereka hanyalah sebagai rakan kerja.