Hiburan
"Nak Petik & Tampar Dah Tak Terasa Pun" - Kembali Bekerjasama Selepas Filem Pasrah, Norman & Erra Sedia Jamu Fantasi Peminat
Pelakon Norman Hakim menyifatkan gabungan semulanya bersama Erra Fazira sebagai hos Mingguan Wanita dan drama Gerak Khas berlandaskan prinsip profesional.
Selepas kali terakhir digandingkan menerusi filem Pasrah sejak 19 tahun lalu, Norman menjelaskan keakrabannya dan Erra umpama sahabat baik.
"Pasrah menjadi satu momen throwback yang pastinya kami akan mengekek ketawa apabila diingatkan semula.
"Erra pun sudah sampai ke satu peringkat menjadi 'buddy' saya sampai tak sudah tidak menyimpan apa-apa perasaan disebabkan terlalu akrab.
"Mungkin orang luar akan mengimbau semula kisah yang berlaku suatu ketika dahulu antara kami berdua tetapi masing-masing punyai perjalanan hidup dan perhubungan baik kami sudah mencapai tahap yang matang.
"Masing-masing memikirkan soal kehidupan dan anak-anak. Saya pun tak sangka boleh kembali berkolaborasi selepas hampir 20 tahun.
"Sejujurnya saya katakan tiada perasaan mudah terguris pun kalau ada antara kami nak petik atau tampar sebab kami sudah melalui satu proses kematangan," katanya kepada Gempak.
Norman ditemui pada majlis pelancaran produk kosmetik Aliff Syukri Legacy (ASL Legacy) di Damansara baru-baru ini.
Tambah Norman, tidak salah untuk dia dan Erra kembali bekerjasama seandainya usaha itu ke arah memberikan kepuasan kepada penonton dan peminat.
"Kalau nak buat sesuatu naskhah seperti drama atau filem untuk menjamu fantasi audiens misalnya kisah cinta berdua, saya tiada masalah sebab 'chemistry' antara kami sudah wujud.
"Malah, menerusi Gerak Khas dan Mingguan Wanita pun kami saling membantu satu sama lain," katanya.
Bagi yang terlepas, rancangan bual bicara Mingguan Wanita sudah mula bersiaran sejak 8 Julai setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 11 pagi di saluran Astro Prima (105) dan Prima HD (121).
Must-Watch Video