Pelakon Elisya Sandha mengakui mengalami kecederaan ringan ketika sedang melakukan penggambaran drama Ratu Ten Pin.

Menurut Elisya, insiden tersebut berlaku ketika sedang merakam babak Salma berlatih bermain boling.

Katanya, melakonkan watak Salma yang tidak tahu bermain boling agak mencabar kerana terpaksa pura-pura kekok dengan sukan tersebut.

“Cabaran saya ialah saya dah tahu skill dan teknik bermain boling…Tapi dalam drama ni saya kena jadi beginner.

“Saya kena buat-buat kekok sebab dalam drama ni Norma tak pandai main boling. Jadi saya buat keputusan untuk berlatih banyak kali.

“Kebiasaannya saya pakai performer shoe tetapi untuk Norma, saya kena pakai house shoe dan house ball yang memang dah digunakan ramai orang.

“House shoe, tapaknya agak kesat, saya pula dah terbiasa slide dengan performance shoe…Lepas tu masa babak tersebut saya nak slide dan tiba-tiba tersangkut!

“Bola boling tercampak dan terkena buku lali. Dan buku lali saya pun jadi warna biru (lebam). Tapi dalam masa dua hari dah okay.

“Itu sahajalah yang berlaku tetapi ia satu pengalaman yang menarik buat saya,” katanya.

Elisya ditemui ketika sesi sidang media secara virtual bersama barisan pelakon drama Ratu Ten Pin pada petang Selasa.

Ratu Ten Pin yang mengangkat tema sukan boling bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, pukul 11 malam di saluran Astro Ria (104).

Selain Elisya, drama terbitan JS Pictures ini turut dibintangi Nazim Othman, Fify Azmi, Sheila Rusly, Datuk Eizlan Yusof, Aleeza Kassim, Lisdawati, Esma Daniel dan bekas atlet boling kebangsaan Syaidatul Afifah.