Laman Utama

#NakCakapSikit: Ambil Iktibar Dengan Bencana Yang Berlaku, Sudah-Sudahlah Menuding Jari!

gempak
Fiza Kamarudin
22/12/2021
12:40 MYT
Sponsor Banner
#NakCakapSikit: Ambil Iktibar Dengan Bencana Yang Berlaku, Sudah-Sudahlah Menuding Jari!
Sejak beberapa kawasan di negeri Selangor ditenggelami air Sabtu lalu, tidak putus-putus bantuan diberikan kepada mangsa banjir.
Pujian harus diberikan kepada orang ramai yang datang daripada negeri dan daerah lain untuk bersama-sama meringankan beban mangsa. Tanpa mengira latar belakang, darjat, bangsa dan agama semua turun padang.
Ada juga yang membantu dengan mengumpulkan barang-barang keperluan dan kegunaan harian termasuk bantuan kewangan untuk disalurkan kepada mangsa banjir walaupun tidak turun ke tempat-tempat dilanda bencana.
Semangat dan tindakan pantas yang ditunjukkan rakyat Malaysia ini juga telah membuka mata ‘orang luar’ tentang betapa utuhnya semangat perpaduan di antara kita. #RakyatJagaRakyat
Namun dalam saat getir ini, masih ada suara-suara sumbang yang terus-terusan mengkritik dan menyalahkan pihak lain.
Antara isu yang hebat diperkatakan ialah kononnya tiada bantuan daripada pasukan penyelamat seperti Bomba, Polis, Tentera, JPAM dan yang lain-lain.
Kata warganet, pasukan penyelamat terlalu lambat tiba di lokasi malah orang awam yang terlebih dahulu muncul sebagai wira! Komen-komen murni #NakCakapSikit puji, tetapi yang mengeji minta maaflah korang macam budak tak cukup akal!
Tahu tak sebab apa? Sebab ada anggota keselamatan yang terguris hati apabila tohmahan dilemparkan kepada mereka? Mereka tidak marah jika kata-kata tidak berbaur hinaan...Tapi masalahnya berlebih-lebih!
Jangan begitu…rasanya dalam saat getir melibatkan nyawa ini tidak sesuai untuk kita menuding jari kepada sesiapa pun. Kita tak perlukan wira papan kekunci yang hanya beromong kosong dan pandai memanaskan keadaan! NO TAK PERLU!
Ni...#NakCakapSikit kongsikan dengan korang, luahan anggota keselamatan kita. Mereka bertungkus-lumus, mereka juga ada maruah, hati dan perasaan...
Tidak dinafikan ada beberapa kelemahan dalam pengurusan banjir terutama di Selangor dan perlu di tambah baik dari semasa ke semasa.
Segera fikirkan jalan penyelesaian, bukan berbalah menyalahkan pihak lain. Berundinglah...Cukup-cukup tuduh pihak lain kononnya batu api!
Dalam hal ini, kerajaan perlu menerima pandangan rakyat dengan terbuka. Jangan marah netizen, jadikan bencana ini sebagai iktibar dan kesiapsagaan pada masa akan datang.
Bukan minta ia berulang, tetapi beringat-ingatlah…
Melihat kepada situasi banjir di negara ini bukan Selangor sahaja, tetapi semua negeri…Terbukti bahawa tumpuan serius tidak pernah diberikan terhadap sistem perparitan di negara ini.
Mengejar arus kemodenan bukan terletak pada pembinaan bangunan pencakar langit semata-mata. Kena ingat tu.
Sudah-sudahlah mendongak melihat bangunan tinggi, pandanglah ke bawah tengok longkang dan parit pula!
Adakah bajet diperuntukkan kerajaan untuk sistem perparitan negara (di setiap negeri) mencukupi? Kalau rasa tidak, jangan tunggu!
Jangan kata tidak, antara punca banjir adalah disebabkan kurangnya penyelenggaraan longkang, selain saliran yang tersumbat.
Beri lebih perhatian kepada masalah ini, baik di kawasan bandar mahupun luar bandar.
Ambil iktibar daripada apa yang berlaku kerana #NakCakapSikit yakin kita tidak mahu ia berulang lagi.
Kehilangan nyawa, harta benda itu memeritkan. Dan dalam keadaan sekarang, bantuan kecemasan diperlukan rakyat jadi tidak perlulah buat majlis pelancaran konon-konon ‘skuad banjir’ diwujudkan kementerian masing-masing. Tak sesuailah!
Ni #NakCakapSikit…Duit yang dibelanjakan untuk buat majlis pelancaran tu lebih baik gunakan untuk membantu mangsa yang terkesan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live