Baru-baru ini berlaku kemalangan menyayat hati apabila seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun maut dilanggar van sekolah di hadapan taska yang juga rumah transitnya sendiri.

Lebih memilukan apabila kanak-kanak yang mengalami kecederaan parah di kepala itu meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.

Insiden ini sebenarnya telah menarik perhatian banyak pihak terutama ibu bapa yang bimbang jika kejadian tidak diingini seumpama itu, berlaku terhadap anak mereka pula.

Dan selepas itu tular pula video tersebut di media sosial Facebook, Instagram dan Twitter termasuk aplikasi Whatsapp.

Tidak terfikirkah kalian perasaan ibu dan bapa mangsa? Letaklah sikit perasaan belas dan hormat kepada keluarga anak syurga itu.

Kalau sudah tengok, tak perlu dikongsi di media sosial lagi. Sedekahkan al-Fatihah dan doakan yang baik-baik buat keluarga Allahyarham. Itu lebih baik.

Apapun yang #NakCakapSikit mahu sentuh hari ini ialah mengenai sikap menuding jari yang masih ada dalam kalangan masyarakat kita hari ini.

Pihak di sini menyalahkan yang di sana dan begitulah sebaliknya. Ada yang menggesa pemandu bas agar lebih berhati-hati ketika memandu termasuklah memastikan keselamatan pelajar sebelum meneruskan pemanduan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Ada juga yang berkata pemilik taska bersalah kerana tiada staf yang menyambut murid tersebut seperti diperuntukkan oleh kerajaan.

Bagi #NakCakapSikit pula, berhentilah tuduh-menuduh, menyalahkan satu dengan yang lain. Back to basic! TANGGUNGJAWAB dan AMANAH! Masing-masing perlu memainkan peranan.

Ingatlah bahawa anda ada tanggungjawab dan memegang amanah daripada ibu bapa. Namun ibu bapa juga harus lebih peka.

Seperti kes yang berlaku minggu lalu, pemandu dan pemilik van yang ditahan pihak polis disyaki tidak memiliki permit van sekolah.

Ibu bapa sekalian, tolonglah buka mata anda semua dan jadikan insiden ini sebagai pengajaran untuk kita semua. Pilihlah perkhidmatan van sekolah berdaftar dengan mengambil kira faktor keselamatan anak-anak anda.

Ni...#NakCakapSikit...Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.