Minggu ini #NakCakapSikit bukanlah nak berpolitk, jauh sekali tunjuk pandai. Cuma ada sedikit rasa terkilan dengan beberapa isu.

Macam yang kita semua tahu, kes positif Covid-19 semakin meningkat dan yang terkini mencecah sehingga 11, 618 kes baharu.

Dalam kebimbangan dan keresahan yang sedang dihadapi kita semua hari ini, masih ada segelintir yang sengaja mencetuskan provokasi dengan isu-isu yang tidak sepatutnya.

Isu politik misalnya, apalah salahnya jika pemain politik di negara ini mengenepikan dahulu isu lain dan memberi keutamaan ke arah menangani Covid-19 dan menjana ekonomi negara?

#NakCakapSikit sokong kenyataan Pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Rusdi Omar yang mahu pemain politik atau pemimpin politik bersama-sama menangani isu Covid-19 dan ekonomi.

Betul kata beliau, kedua-isu ini merupakan isu kritikal, isu yang lain mohon diketepikan walaupun kita nampak politik sedang bergolak sekarang ini.

Rakyat dalam kesusahan dan semakin tertekan! Sekarang bukan masa yang sesuai untuk menekankan isu politik. Ada juga yang suka sindir-menyindir!

Sebagai individu yang sering menjadi perhatian rakyat, tunjukkanlah contoh dan tauladan yang baik.

Paling tidak, tunggulah isu Covid-19 dan ekonomi negara reda sebelum berpencak dalam dunia politik yang tiada berkesudahan ini!

Ini baru satu isu…Tidak termasuk yang menimbulkan kemarahan rakyat seperti…Ahh…Tak perlulah #NakCakapSikit sebut. Takut nanti dikatakan menyiram minyak ke dalam api pula.

Sebagai rakyat, #NakCakapSikit harap sangat agar ‘mereka yang terlibat’ buka mata dan berjuanglah untuk kebaikan kita semua.

Dengarkan rayuan kami (rakyat). Kami sedang bertahan, sedang berjuang dalam keperitan pandemik ini. Semoga ada sinar buat kami nanti.

Dan ketahuilah kami juga sedang membantu melawan Covid-19 dengan menjaga SOP seperti yang disarankan…

Ni #NakCakapSikit…Sama-samalah kita saling membantu untuk kebaikan bersama. Cukup-cukuplah menuding jari...Penat!