Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

#NakCakapSikit: Pernah Botak Licin Macam 'Penjaga Gol Shaolin Soccer’ Kerana Kimoterapi, Pejuang Kanser Payudara Jangan Down Please!

Fiza Kamarudin
06/10/2021 13:42 MYT
Hari ini, #NakCakapSikit terpanggil untuk berkongsi pengalaman sebagai seorang pesakit yang paling ditakuti kaum wanita, iaitu kanser payudara.

Ahhh…sebenarnya #NakCakapSikit tak berapa gemar menggelar diri ini sebagai pesakit, lebih selesa kalau disebut ‘pejuang’. Sebab secara kasarnya, memang #NakCakapSikit sihat-sihat je, sama macam korang semua.

Julai 2018 umpama titik gelap dalam kehidupan saya, ya saya…Siti Nor Hafiza Binti Kamarudin! Siapa yang boleh terima bila dapat tahu hidup ini akan berakhir!

Mati! Itulah perkara pertama yang terlintas ketika doktor sahkan saya menghidap kanser payudara stage 3. Lemah longlai lutut, saya tak boleh terima hakikat!

Kenapa saya? Berkali-kali diri ini menyalahkan takdir, menyalahkan tuhan…(Ya Allah, ampunkan hamba mu yang kerdil ini. Sesungguhnya aku tidak kuat menerima ujian berat mu saat itu.)

Bohong kalau saya kata, saya tidak menangis, tidak berasa ‘down’. Hampir dua minggu saya ambil masa untuk keringkan air mata, sebelum kembali bangkit dengan semangat yang baru.

Saya sangat bersyukur kerana memilik ‘support system’ yang baik. Arwah abah, saya tak akan lupa setiap kata-kata semangat yang beliau tiup ke telinga. Emak, saya tak pernah nampak wanita melahirkan saya ini menangis di depan saya. Malah setiap hari tanpa gagal emak akan mendoakan kesihatan saya.

Suami…tidak ada ayat yang boleh saya ungkap buat dia kerana pengorbanan selama ini. Tidak pernah memandang rendah diri saya yang sudah ‘hilang aset’ wanita! Apa lagi daya penarik yang tinggal? Tak ada apa-apa lagi buat saya, tetapi tidak suami.

Beliau sentiasa membisikkan kata-kata semangat, malah dia reda dengan ketentuan yang sudah tertulis. Terima kasih sayang!

Adik-adik, saudara-mara, sahabat handai, rakan-rakan di tempat kerja, di sosial media semuanya terlalu baik dan peniup semangat sehingga saya berdiri seperti hari ini.

Dari kiri: Arwah Abah, masa ni beliau bersungguh-sungguh ajak masuk fun run breast cancer awareness di UM...Sebelah abah tu suami dan anak-anak saya...

Saya pernah botak licin, sekali tengok macam penjaga gol dalam filem Shaolin Soccer tau! Tapi semangat saya tak pernah luntur! Kalau orang kata saya nampak macam ‘alien’ saya pula rasa saya nampak macam bintang filem!

Menjalani rawatan kimoterapi adalah kesakitan? Jangan! Jangan fikir bergitu tetapi tukarlah ‘mind set’ anda. Setiap kali kaki melangkah ke pusat rawatan kimoterapi saya akan senyum. Sebab senyum itu pengubat segalanya.

Saya fikir, kalau orang lain yang lebih teruk daripada saya pun boleh ‘harung’ kimoterapi tak mungkin saya tak boleh!

Radioterapi, pun saya dah selesaikan. Sekarang saya hanya perlu menjalani pemeriksaan tahunan di hospital. Mammogram dan pet scan (jika perlu).


Ini saya masa buat rawatan kimoterapi, penat duduk...Saya berdiri!

Ramai orang tanya apa rahsia saya nampak sihat dan ceria. Jawapan saya mudah, positif! Jangan fikir tentang sakit atau mengalah dengan penyakit.

Jangan pernah putus asa sekiranya anda disahkan menghidap kanser payudara. Percayalah, setiap penyakit ada penawarnya. Semuanya berbalik kepada diri sendiri.

Sentiasa ingat kepada orang-orang di belakang anda yang masih memerlukan anda, yang sayang pada anda.

Sempena bulan kesedaran kanser payudara atau lebih dikenali sebagai #pinktober ini, apa kata reward diri sendiri dan bergembiralah dengan apa yang anda miliki sekarang.

Sebarkan ‘awareness’ kepada pejuang kanser payudara yang lain supaya mereka juga bersemangat dan positif seperti anda.

Diundang untuk berkongsi pengalaman dan #breastcancerawareness dua tahun lalu bersama kakitangan di Double Tree by Hilton.

#Kanserbukantiket untuk mati! Ingat tu!

Ini sedikit sebanyak yang #NakCakapSikit boleh kongsikan dengan anda semua. Pengalaman sendiri, kesakitan sendiri dan berbekalkan semangat diri, saya masih di sini berkongsi dengan anda semua.

#Nak Cakap Sikit #NakCakapSikit #Breast Cancer Awareness #Pinktober
;