Penerbit berprofil tinggi, Puan Sri Tiara Jacquelina berkongsi rasa bangga apabila lagenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari mendapat pengiktirafan dalam senarai individu dengan jumlah jaringan gol terbanyak oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam senarai yang dikongsi menerusi Twitter itu, nama Ali Daei dari Iran dan Cristiano Ronaldo dari Portugal masing-masing mendahului dengan 109 jaringan, diikuti Mokhtar dengan 89 jaringan.

"Sangat bangga melihat lagenda bola sepak #SuperMokh diberi pengiktirafan oleh FIFA sebagai penjaring gol terbanyak di dunia, nama beliau mengalahkan Pele dan Messi," tulis Tiara di Instagram.

Dalam pada itu, Tiara yang sangat popular menerusi filem Puteri Gunung Ledang itu juga merasakan kehebatan Mokhtar sebagai pemain bola di Malaysia tiada tolok bandingnya.

"Memang Allahyarham tiada bandingannya, kalau dia dah dapat bola, dia tak akan berhenti, itulah kegemilangan bola sepak negara.

"Anda semua rasa bagaimana, akan adakah pemain bola sepak yang hebat seperti beliau?" tulisnya lagi.

Perkongsian Tiara itu mendapat perhatian daripada para pengikutnya yang turut mengagumi pemain lagenda Selangor itu.

A post shared by Tiara Jacquelina (@tiarajacquelina)


Untuk info, jaringan 89 gol oleh Allahyarham adalah menerusi 142 perlawanan antarabangsa sekaligus menyumbang kepada peningkatan kedudukan pasukan negara ke kedudukan 61 dunia.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada Julai 1991 akibat penyakit Neuron Motor (MND).

Al-Fatihah