Nama Dikaitkan Dengan Isu Pelakon ‘Alim’ Berlaku Curang Terhadap Isteri, Ini Respon Hafidz Roshdi
Asyikin Mayudin
30/01/2023 00:54 MYT
30/01/2023 00:54 MYT
Nama pelakon Hafidz Roshdi menjadi perbualan hangat netizen di laman sosial selepas terkait dengan artikel yang mendakwa seorang aktor berimej ‘alim’ kantoi curang dengan isterinya.
Selepas namanya dikaitkan, Hafidz menerusi laman Instagram memuat naik foto bersama isterinya iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri.
Malah, pada perkongsian yang sama pelakon berusia 28 tahun itu turut disertakan dengan latar belakang lagu berjudul Fitnah nyanyian Ical Mosh.
Terdahulu, menerusi laporan Harian Metro, hubungan terlarang itu terbongkar selepas isteri aktor yang pernah menyertai program pencarian ‘hero’ tersebut memeriksa mesej di telefon.
Difahamkan, pelakon yang mempunyai dua orang cahaya mata itu didapati menghantar mesej berbaur lucah dan menjijikkan kepada wanita simpannya atau skandal.
Bukan itu sahaja, isterinya juga mendapati banyak perubahan yang telah berlaku dengan bertindak memadam gambar isterinya dan hanya membiarkan gambar dua orang anaknya sahaja.
Bahkan, isterinya itu hanya mampu mendiamkan diri sahaja kerana menyedari dirinya seorang insan biasa yang tidak bekerja dan bergantung harap dengan suaminya.
Apa yang lebih mengejutkan ramai, pelakon itu didakwa sudah mula buat perbuatan ‘jijik’ itu sejak mereka dikurniakan seorang cahaya mata.
Untuk rekod, Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Shuhada pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.