Pelakon dan penyanyi Nur Fazura enggan mengulas lanjut meskipun namanya terkait dengan isu yang timbul ketika sesi siaran langsung TikTok oleh usahawan Neelofa baru-baru ini.

Tegas Fazura, dia tidak perlu untuk menjawab soalan mengenai isu tersebut kerana ternyata perkara berkenaan tiada kena mengena dirinya.

“Saya ada dengar pasal ini juga. Saya rasa ini tiada kena mengena dengan saya… Diana ke apa nama tu.

“Soalan ini tidak sepatutnya ditanya kepada saya… apa yang berlaku di luar sana saya tidak tahu menahu.

“Daripada komen perkara yang saya tidak tahu, lebih baik saya fokus pada apa yang saya lakukan sekarang,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Faztival Fazura yang berlangsung di ibu kota sebentar tadi.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai tindakan Neelofa yang ingin menzahirkan rasa kurang senang terhadap komen seorang netizen ketika sedang bersiaran langsung di TikTok.

Difahamkan, pengguna bernama Diana itu meninggalkan komen bertubi-tubi tentang bagaimana bagusnya jika Fazura juga mengeluarkan produk inai.