Hub penerbangan utama negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikhabarkan mahu diberikan penjenamaan semula dengan menukar namanya kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (SIA).

Cadangan itu dibangkitkan oleh exco Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Datuk Teng Chang Kim bertujuan untuk mencerminkan lokaliti KLIA yang terletak di daerah Sepang.

Lapangan terbang antarabangsa yang terkenal sering menggunakan lokaliti sebagai namanya. Antara contohnya adalah Narita atau Haneda di Tokyo, Incheon di Seoul, Suvarnabhuni di Bangkok, Baiyun di Guangzhou, Pudong di Shanghai, Schipol di Amsterdam dan banyak lagi.

Namun Menteri Pengangkutan, Anthony Loke masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada kerajaan negeri Selangor itu.

Memetik kenyataannya di Malaysiakini, “Saya belum menerima sebarang permohonan rasmi dari kerajaan Selangor. Setakat ini, nama KLIA kekal.”

Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Tahir pula, penukaran nama KLIA kepada SIA dilihat tidak bersesuaian dengan imej Malaysia di mata dunia.

“Sepang hanya daerah di Selangor berbanding Kuala Lumpur yang lebih gah sebagai ibu negara”, katanya menerusi laporan Harian Metro.