Sungguhpun ramai yang melihat industri muzik di Malaysia sebagai satu ruang industri yang kecil, namun, masih ramai antara penyanyi yang sukar untuk menonjolkan bakat masing-masing kerana persaingan yang besar antara satu sama lain.

Hal ini mungkin jelas dirasai oleh penyanyi Syafeek Ikhwan. Sudah lima tahun melakar karier sebagai anak seni, namun, keberadaannya dalam bidang hiburan masih belum cukup besar jika mahu dibandingkan dengan penyanyi lain yang mempunyai pengalaman yang serupa.

Justeru, ketika ditanya adalah platform pertandingan nyanyian Lagu Cinta Kita 3 (LCK3) yang disertainya kini ingin dijadikan sebagai platform untuk menaikkan namanya, Syafeek berkata, dia melihat LCK3 sebagai medium untuk orang luar lebih mengenalinya.

“Menaikkan nama semula itu saya rasa kurang tepat sebab nama saya tak pernah naik pun sebelum ini. Jadi, saya lihat penyertaan saya dalam LCK3 lebih kepada memberitahu orang siapakah Syafeek Ikhwan.

“Dalam masa yang sama, mungkin disebabkan chemistry saya dengan rakan duet, iaitu Zazo, peminat dan penyokong kami dapat mengenali kami dengan lebih dekat menerusi pertandingan ini,” katanya kepada Gempak.

Sebelum ini, juara Lagu Cinta Kita, Naqi dan Ayun serta finalis Erul dan Naufa bertemu jodoh setelah menyertai program yang memasangkan setiap penyanyi dengan rakan duet itu.

Ditanya adakah apakah status hubungan Syafeek dengan Zazo atau nama sebenarnya, Zaleha Zolkepli, Syafeek menjawab: “Setakat ini, hubungan saya dan Zazo rapat selepas banyak menghabiskan masa bersama.

“Tak sangka chemistry antara kami cepat terbina dan ia merupakan aspek yang penting dalam pertandingan.

“Begitupun, apa yang berlaku selepas ini adalah di luar bidang kuasa kita. Bagaimanapun apa yang boleh saya katakan, hubungan kami rapat,” katanya lagi.

Untuk rekod, Syafeek pernah dinobatkan sebagai juara pertandingan i-Sing Dunia 2018 yang berlangsung di Paris, Perancis.

Sebelum itu, dia juga pernah menjuarai pertandingan Pujaan RTM 2015.