Tiada dalam senarai penuh finalis Top 5 Anugerah Bintang Popular BH ke-32 (ABPBH 32), pelakon dan penyanyi Ayda Jebat menganggap bukan rezeki untuk dirinya.

Tidak mahu 'melatah' dengan isu tersebut, Ayda sebaliknya tetap memberikan sepenuh sokongan terhadap acara gilang-gemilang itu serta mana-mana majlis penganugerahan.

“Ini semua adat pertandingan dan saya anggap ia bukan rezeki. Namun apapun, saya akan tetap memberikan sokongan kepada penganjuran anugerah itu.

"Lagipun, bukan prinsip saya nak kejar trofi tapi lebih kepada karya yang berkualiti untuk terus menghiburkan pencinta muzik dan mewarnai industri seni lakonan. Itu lebih penting,” katanya.

Menurut Ayda, dia percaya anugerah tidak akan menjamin seseorang itu untuk terus kekal berada dalam industri seni, sebaliknya bagaimana seseorang artis itu merencana perjalanan seninya.

“Anugerah bukanlah tiket untuk seseorang anak seni itu berada di dalam industri buat selama-lamanya.

“Saya pernah menang anugerah, tapi saya masih perlu berusaha untuk mendapatkan naskhah yang terbaik serta lagu-lagu mesra pendengar bagi menambat hati peminat.

“Apapun saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua selebriti yang tercalon dalam TOP 5 ABPBH32,” katanya.

Untuk pengetahuan anda, ABPBH 32 akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September depan, jam 9 malam.

Anda boleh lihat senarai calon penuh di bawah.

BACA: Ini Senarai Penuh Top 5 Anugerah Bintang Popular BH Ke-32 (ABPBH32)