Brian Head Welch mungkin terkenal dengan pembabitan dalam kumpulan nu metal dan muzik bising yang dimainkan Korn.

Namun Welch ternyata punya ‘sisi lembut’ apabila mengumumkan penubuhan pusat rawatan kesihatan mental dalam usaha membantu golongan yang berdepan dengan masalah tersebut.

Welch melancarkan pusat rawatan yang diberi nama Atlantic Behaviorol Health yang ditubuhkan untuk merawat secara intensif para pesakit gangguan kesihatan mental di kawasan Massachusetts dan New Hampshire.

Penubuhan pusat rawatan tersebut didorong oleh pengalamannya yang berdepan dengan masalah kesihatan mental termasuk kemurungan teruk.

“Saya rasa kemurungan seperti mengusung awan besar hitam di atas kepala saya. Saya bertanya kepada diri sendiri kepada dan apa sebab saya kemurungan?

“Tapi ia (kemurungan) tetap ada sehingga memburuk untuk satu tempoh yang lama sehingga dibantu dengan terapi,” ujar Welch seperti dilaporkan People.

Pemain gitar dan pengasas bersama kumpulan Korn yang berusia 52 tahun itu kemudian memberitahu dia tidak mahu lebih ramai pesakit menderima dengan masalah gangguan mental.

“Saya tidak akan pernah melupakan pengalaman yang telah dilalui dan tidak mahu orang lain melalui pengalaman yang sama dalam kehidupan yang penuh gelap serta kosong,” katanya lagi.

Sementara itu Welch dan Korn akan melakukan siri jelajah di Eropah pada musim panas ini.