Bintang Big Stage 2020, Nana Sheme merayu kerajaan Sarawak agar mempertimbangkan semula tempoh kuarantin individu yang keluar masuk ke negeri berkenaan.

Jelas Nana, 25, soal bila dibenarkan untuk merentas negeri atau jumlah ujian swab dilakukan tidak menjadi masalah asalkan tidak terbeban dengan tempoh kuarantin yang panjang.

"Kerajaan Sarawak yang saya sayangi, saya datang dengan niat yang murni. Tolonglah pertimbangkan untuk mengurangkan sedikit je tempoh kuarantin.

"Saya yakin ramai yang di seberang Laut Cina Selatan ini rindu nak jumpa mak ayah, keluarga.

"Pada masa sekarang, ia tidak semestinya untuk pulang berhari raya. Asalkan dapat balik ia sudah cukup memadai.

"Buat ujian swab sebanyak yang anda mahukan pun tak apa, tetapi tolonglah pertimbangkan mengenai tempoh kuarantin. Tolonglah... Sekurang-kurangnya lihat juga beberapa pilihan lain sekiranya ada," tulisnya di Instagram.



Tambah penyanyi lagu Hantu Atau Buaya itu, saranannya bagi memudahkan urusan pihak yang tidak mempunyai jumlah cuti tahunan yang panjang sehingga 14 hari.

"Kepada yang membangkang saya, percayalah anda tidak berada di tempa kami. Fikirkan mereka yang bekerja yang tidak mendapat cuti 14 hari.

"Sedih tau dengar mak ayah cakap 'kami reda kalau tak dapat bersatu raya ni, harap tahun depan panjang umur kita raya sekali'. Ada yang dah masuk dua tahun tak balik, remuk hati," ujarnya.

Tambah Nana, dia bersedia sekiranya pendapatnya mendapat tentangan dan tidak dipersetujui oleh mana-mana pihak.

"Ini ruang saya. Saya ada hak untuk berkongsi pandangan dan saya tak pernah menggunakan platform ini secara tidak bertanggungjawab," katanya.

Sehingga kini difahamkan kerajaan negeri Sarawak masih mengetatkan tempoh kuarantin 14 hari berbanding negeri-negeri lain yang cuma 10 hari.

Suara Nana turut didengari ramai pihak termasuk wakil dari kerajaan negeri Sarawak yang tampil menjelaskan ketegasan untuk kekal dengan tempoh kuarantin sama selama dua minggu.

Hal itu mengambil kira sejarah peningkatan kes COVID-19 yang berlaku di Sarawak dari kluster Pasai.



Pada masa sama, dalam laman sosial Twitter, Nana menepis dakwaan netizen yang beranggapan dia meminta kerajaan negeri menggugurkan tempoh kuarantin.

Walhal, kenyataan asalnya meminta jasa baik supaya mempertimbangkan untuk mengurangkan tempoh kuarantin sahaja.