Penyanyi baharu, Ika Mustafa mengesahkan dia bebas daripada wabak Koronavirus (2019-nCov).

Ketika dihubungi Gempak, Ika melahirkan rasa syukur sejurus menerima keputusan ujian pengesahan.

"Alhamdulillah keputusan adalah negatif. Saya bersyukur dan berasa lega sangat. Saya bebas daripada jangkitan virus berkenaan.

"Tiga hari saya terkurung dengan keadaan sana dah macam dalam filem," katanya.



Pelantun lagu Damaikanlah turut berpesan kepada semua pihak supaya tidak melancong ke luar negara dalam masa terdekat ini.

"Peringatan saya buat masa ni tak payah la pergi melancong.

"Kita taktau keadaan orang di sekeliling kita. Lebih baik elakkan diri daripada berkunjung ke tempat yang sesak.

"Jangan ambik risiko. Nanti dah kena kuarantin baru menyesal," kata Ika.

Dalam pada itu, Ika atau nama sebenarnya Nursyafiqah Mustafa mengucapkan terima kasih kepada doktor dan jururawat yang menjaganya sepanjang kuarantin.

"Saya perasan jururawat berbeza ditugaskan untuk memantau saya.

"Saya juga kagum dengan tahap keselamatan yang diambil doktor dan jururawat.

"Setiap kali berjumpa dan membuat pemeriksaan, mereka menukar persalinan baharu sebelum berjumpa pesakit lain.

"Saya nak berterima kasih kepada semua pegawai perubatan yang mengambil risiko dan bertungkus lumus menjaga saya sepanjang tempoh kuarantin di Hospital Sungai Buloh (HSB) ini," katanya lagi.

Terdahulu, Ika ke Haikou, China atas urusan kerja pada 25 Januari lalu dan pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Ika bagaimanapun terpaksa dirujuk ke HSB untuk dikuarantin selepas mengalami demam, batuk dan selesema kerana dipercayai pesawat tersebut turut dinaiki warga emas dari Wuhan yang berada dalam keadaan tidak sihat.