Nasihat Fazura Buat Suri Rumah - “Kalau Tak Boleh Kerja Di Luar, Boleh Buat…”
Asyikin Mayudin
27/10/2023 04:55 MYT
27/10/2023 04:55 MYT
Pelakon dan usahawan Nur Fazura menyifatkan tugas yang digalas oleh para suri rumah sebagai satu tanggungjawab yang besar dan rumit.
Fazura berkata dia amat mengagumi para suri rumah yang menguruskan hal rumah tangga sepenuh masa biarpun ada segelintir mereka yang mengalami masalah depresi akibat kurang waktu tidur.
"Saya sangat menghormati wanita yang bergelar suri rumah yang tidak bekerja dan duduk di rumah menjaga anak. Itu adalah satu tugas yang sangat besar dan rumit.
"Ramai wanita di luar sana yang ada depresi disebabkan tidak cukup tidur dan sebagainya. Saya ingin beri semangat kepada wanita di luar sana untuk terus kuat.
"Menjadi ibu bukan perkara yang mudah. Saya mahu suntik semangat kepada semua wanita," katanya.
Dalam pada itu, isteri kepada aktor Fattah Amin itu turut menasihati para suri rumah untuk mempunyai simpanan kewangan sendiri dengan cara berniaga secara kecil-kecilan dari rumah.
"Pada saya yang paling penting, seorang wanita itu harus ada simpanan kewangan yang kukuh untuk diri sendiri. Kalau tidak boleh bekerja di luar, boleh buat income dari rumah.
"Jadi bila apa-apa terjadi sudah ada simpanan sendiri. Jadi nasihat saya kepada semua wanita di luar sana, cari lah perniagaan atau pekerjaan yang anda minat untuk buat. Financial independent sangat penting," tambahnya.