Selepas tujuh tahun pelakon, penyanyi rap dan pengacara, Nawhki atau Ikhwan Rosli kini muncul dengan single terbaharu berjudul ‘T-ADA’.

Nawkhi berkata, lagu T-ADA memberikan makna yang cukup mendalam buat dirinya apatah lagi individu yang sepatutnya menyanyikan lagu tersebut sudah meninggal dunia.

“Perancangan asal, lagu ini adalah untuk anak saudara saya, Allahyarham Adib. Saya bawa dia ke studio untuk merakamkan lagu ini.

“Adib adalah bakat baharu yang saya nak ketengahkan. Saya mahu kami berkolaborasi. Tetapi kita merancang, Allah SWT jua yang menentukan segalanya.

“Allahyarham meninggal dunia kerana kemalangan dan saya pula ambil tanggung jawab untuk merealisasikan impian Adib meskipun berseorangan.

"Lagu ini juga didedikasikan khas buat sahabat-sahabat saya yang telah pergi atau kepada mereka yang kehilangan orang tersayang,” katanya.

Lagu T-ADA merupakan ciptaan Aiyad Sakti, Luke Hakeem dan Jason How, manakala liriknya ditulis Aiyad Sakti dan Nawhki sendiri.

Menerusi T-ADA Nawkhi meluahkan isi hati dan perasaannya menerusi nyanyian rap yang disampaikan.

Mengulas harapan terhadap T-ADA Nawhki berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi namun berharap agar lagu tersebut diterima pendengar.

"Syukur, ada rezeki untuk saya mengeluarkan single ini selepas ‘Percaya’ pada 2014. Walaupun banyak cabaran ditempuhi kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Saya hanya mahu meluahkan apa yang dirasa menerusi lagu dan memberikan yang terbaik. Saya tidak mengharapkan apa-apa, cukup jika semua dapat menerima lagu ini,” katanya.

Lagu T-ADA sudah dilancarkan pada 9 June lalu dan boleh didapati di semua platform digital termasuk laman sosial Youtube.