Naz Carpentry memfailkan permohonan ketepikan pembelaan terhadap Awal Ashaari termasuk permohonan pembelaan terhadap tuntutan yang dibuatnya.

Menurut Pengurus Krisis Naz Carpentry, Saiful Ridzuan, pihak plaintif bertindak sedemikian setelah Awal Ashaari menuntut ganti rugi dari syarikat tersebut kerana didakwa gagal menjalankan kerja pengubahsuaian di kediamannya.

"Naz Carpentry membalas pembelaan Awal Ashaari dan memfailkan pembelaan tersebut melalui firma guaman, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, Advocates And Solicitors minggu lepas,” kata Saiful dalam satu kenyataan kepada media.

[[BACA: Awal Ashaari Fail Tuntutan Balas Bernilai RM750,000 Naz Empire Kes Ubah Suai Rumah]]

Tambahnya, dalam tuntutan mereka pada 13 November tahun lalu, Naz Carpentry memfailkan tuntutan saman fitnah bernilai RM3 juta terhadap hos TV tersebut dan dua individu yang lain kerana didakwa mencemarkan imej, jenama dan reputasi syarikat dan pemiliknya.

Ia menerusi kempen media sosial oleh Awal yang telah menjatuhkan reputasi mereka berhubung dengan kerja pengubahsuaian di kediaman baru defendan.

Naz Carpentry mendakwa Awal menyerang reputasi syarikat dan pemiliknya melalui beberapa posting berita palsu dan fitnah di akaun media sosial beliau dari November 2019 hingga November 2020.

Sementara itu, peguam utama Naz Carpentry, Nurul Hafidzah Hassan berkata, anak guamnya tidak takut dengan tuduhan defendan.

"Dengan tuntutan anak guam kami terhadap Awal Ashaari, Naz Carpentry kini berada di landasan yang tepat untuk memulihkan reputasi mereka. Anak guam kami tidak akan dibuli dan kami menunggu jawapan peguam defendan.

“Berkenaan tuntutan balas Awal Ashaari berjumlah RM750,000, anak guam yakin dan percaya bahawa kos tersebut langsung tidak terhutang oleh anak guam,” tambah Nurul Hafidzah.

Sumber: Astro Awani