Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Nazim Othman Mahu Bersara Bukan Sebab Industri - “Tiada Kaitan, Lebih Kepada Peribadi”

Mya Amri
10/03/2024 06:41 MYT
Aktor, Nazim Othman mengakui sudah mempunyai perancangan untuk bersara sebagai seorang pelakon.

Bagaimanapun kata Nazim, tidak lebih selesa memilih untuk tidak berkongsi mengenai jangkaan waktu persaraannya.

“Saya tak nak cakap bila waktu bersara tapi orang orang terdekat saya tahulah perancangan itu dan ada juga saya beritahu kepada beberapa pengarah hebat negara.

“Perancangan untuk bersara ini tiada kaitan dengan hal industri, tapi lebih kepada sebab peribadi,”

“Kalau nak cakap berkenaan industri, industri kita berkembang cuma mungkin perkembangan itu agak perlahan tapi sentiasa ada.

“Saya tak kata industri teruk, tidak, saya bangga dengan industri saya. Cuma perkembangan itu sedikit perlahan, itu sahaja,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nazim juga meluahkan hasrat untuk berlakon filem dengan skrip yang bagus sebelum bersara.

“Saya teringin nak berlakon dengan mereka sebelum bersara. Ada diantara mereka sudah pernah berikan tawaran untuk projek projek terdahulu cuma kekangan masa, jadual bercanggah, saya anggap belum rezeki.

“Sepanjang 15 tahun menjadi anak seni, saya tidak pernah berlakon filem. Semoga impian itu akan tercapai sebelum saya bersara.

“Tentang perancangan masa depan semua saya sudah fikirkan. Saya ada ‘exit plan’ sendiri, apa yang hendak dibuat selepas ini.

“Apa sahaja yang hendak dilakukan saya perlu fikir secara terperinci, saya belajar jika apa sahaja perancangan yang saya mahu lakukan selepas ini, simpan kepada diri sendiri terlebih dahulu sehinggalah menjadi,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nazim akan muncul dalam drama berjudul Wanita Syurga pada 15 Mac ini di sebuah stesen televisyen lain.

#Nazim Othman #Bersara