Laman Utama

ND Lala, Fauziah Sah Bercerai - "Akhirnya Kes Kami Selesai Secara Baik"

gempak
Gempak
05/09/2023
06:39 MYT
Sponsor Banner
ND Lala, Fauziah Sah Bercerai - "Akhirnya Kes Kami Selesai Secara Baik"
"Alhamdulillah, saya bersyukur akhirnya kes kami selesai secara baik pagi ini apabila hakim mengesahkan lafaz cerai yang dibuat bekas suami melalui 'voice note' (rakaman suara) di WhatsApp pada 2 Ogos lalu adalah sah," kata Fauziah Sarman, 55, mengenai pengesahan perceraiannya dengan penyanyi dan pelakon era 1980-an, Datuk ND Lala, 62.
BACA: "Saya Anggap Perempuan Ini Seperti Anak Sendiri" - Bekas Isteri ND Lala
BACA: 34 Tahun Kahwin, ND Lala Akhirnya Ceraikan Isteri Melalui WhatsApp
Terdahulu, Fauziah yang berjubah hitam hadir pada prosiding pengesahan lafaz cerainya dengan ND Lala di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada Selasa.
Pengesahan lafaz cerai pasangan yang sudah hidup bersama selama 34 tahun dan dikurniakan empat cahaya mata ini didengar di hadapan Hakim Ahmad Muttaqi Ismail pada jam 10.30 pagi.
Fauziah yang juga ibu penyanyi popular, Shila Amzah berkata, sekarang mereka sudah sah bukan lagi suami isteri dan berkat doa semua, Allah menguatkan jiwanya untuk memulakan hidup baru bersama anak, menantu, cucu dan sahabat yang sentiasa ada bersama di sisinya.
"Mengenai apa perancangan selepas ini, saya belum membuat sebarang keputusan lagi. Namun, segala yang berhak menjadi hak saya sepanjang perkahwinan kami, insya-Allah akan saya tuntut mengikut undang-undang.
"Diharapkan semua dapat mendoakan saya dan terima kasih atas sokongan yang diberikan kepada saya selama ini. Hanya Allah saja dapat membalasnya" katanya eksklusif kepada Harian Metro.
Sebelum ini, pada 9 Ogos lalu, Fauziah menerusi hantaran di Instagram memaklumkan lafaz cerai dibuat ND Lala terhadapnya di Masjid Ar Rahman, Bangsar, di sini, dan dia mengetahuinya menerusi kiriman WhatsApp pada 8 Ogos lalu.
Fauziah juga pada April lalu, pernah mendedahkan wajah seorang wanita dikenali Siti Munirah Abd Ghani di Instagram dan mendakwa itu adalah 'madunya' yang juga isteri kedua ND Lala.
Ia berikutan timbul spekulasi sebelum itu mengatakan ND Lala kononnya berkahwin baru dengan wanita yang jauh lebih muda daripada Fauziah dan juga bekas rakan sekolah anak sulungnya, Shila.
Ketika majlis pernikahan Shila dan suaminya, Ubai Mz pada 5 Ogos lalu, ND Lala sekadar hadir sebagai wali untuk menikahkan anaknya dan selepas itu dia bergegas pulang meninggalkan majlis.
ND Lala dan Fauziah mendirikan rumah tangga mereka pada 1989 dan hasil perkongsian hidup itu dikurniakan empat anak iaitu Shila, 33; Amir Syafiq, 30; Amir Syahir, 28; dan Nur Syuhada, 25.
Sumber: Harian Metro
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live