Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Neelofa, Haris & Peniaga Karpet Selesai Beri Keterangan Hampir Empat Jam

Azwa Rahman
04/05/2021 23:52 MYT
Polis mengambil keterangan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suami Haris Ismail, susulan penularan video pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Datuk Che Zakaria Othman berkata, polis juga selesai mengambil keterangan peniaga serta pekerja kedai karpet, yang dipercayai dikunjungi selebriti tersebut di kawasan Pusat Perniagaan Nilai 3 dekat Seremban pada Ahad.

“Setakat ini yang selesai memberi keterangan dua orang iaitu peniaga kedai karpet itu dan pembantunya. Saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman, Neelofa dan suaminya akan beri keterangan petang ini (semalam)” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di Seremban.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman menerusi satu kenyataan berkata pihaknya telah mengambil keterangan pasangan selebriti berkenaan selama empat jam di IPD Nilai bermula jam 2.30 petang.

Spekulasi berkaitan video pelanggaran SOP PKPB itu tular di media sosial, apabila Neelofa bersama suaminya memuat naik gambar dan video yang menunjukkan mereka berada di sebuah kedai karpet dipercayai di Nilai, pada Ahad.

Che Zakaria berkata tiada ‘layanan istimewa’ diberikan kepada mana-mana individu yang melanggar SOP PKPB dan setiap kesalahan akan dihukum mengikut undang-undang yang berkuatkuasa.

“Siasatan polis adalah sama, tidak ada beza antara selebriti mahupun orang awam. Kita semua darah berwarna merah, semua sama sahaja, tiada keistimewaan,” katanya.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Sumber: Bernama
#Neelofa #Haris Ismail #Karpet Nilai 3
;