Laman Utama
Neelofa Jawab Dakwaan 4 Orang Dalam Satu Kereta! - “Kami Hanya Tumpangkan Peguam..."
Selebriti Neelofa sekali lagi terpalit kontroversi apabila ada pengguna laman sosial mempersoalkan jumlah penumpang di dalam kenderaan yang dinaikinya.
Pengguna laman sosial tersebut telah menulis ciapan di laman sosial Twitter, mendakwa Neelofa melanggar SOP kerana keretanya dinaiki empat orang penumpang.
Pengguna laman sosial tersebut turut merujuk perkara tersebut kepada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dengan menyebut nama badan berkuasa tersebut di dalam ciapannya.
“Salam @PDRMsia saya rasa ada satu kesalahan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila satu kereta dinaiki empat orang.
“SOP sebelum 25 haribulan sepatutnya tiga orang sahaja satu kereta. Betulkan jika saya salah.
“Ok sekarang buka lagi satu kertas siasatan sampai kiamat,” tulisnya.
Ekoran ciapan terbabit itu Neelofa telah menjawab dakwaan tersebut menerusi ruangan Insta Story di Instagramnya.
Menurut Neelofa, peguamnya Zahiril tidak menaiki kenderaan yang sama untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Negeri Sembilan hari ini.
Kami hanya menumpangkan beliau daripada balai polis ke mahkamah bersebelahan dengan jarak 50 meter kerana kenderaannya diletakkan di ruangan parkir di sana.
“Saya dan peguam tidak hadir ke IPD Seremban dengan menaiki kenderaan yang sama,” katanya.
Dalam pada itu, bekas pengacara Nest To Neelofa itu memberitahu, pihaknya telah menghubungi IPD Seremban mengenai situasi tersebut.
“Kami telah hubungi IPD Seremban dan mereka sedia maklum tentang perkara ini. Saya, Haris dan pemandu pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki kenderaan kami manakala Zahiril pula dengan keretanya.
“Pihak polis boleh meneliti semula rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kami menurunkan peguam di perkarangan mahkamah atau daripada luar balai.
“Diharapkan ini dapat menjelaskan perkara yang berlaku selain mengelakkan salah faham yang berlaku,” katanya lagi.