Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim mengesahkan kertas siasatan terhadap usahawan dan selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa bersama ahli keluarganya berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri, sudah lengkap.

Azmi menerusi sebuah kenyataan berkata, Polis Kuala Lumpur memandang serius isu pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan bagi mengekang penularan COVID-19.

Menurutnya lagi, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields telah membuka kertas siasatan di bawah Peraturan 17 [P. U. (A) 225/21] bagi siasatan dakwaan ziarah raya yang dilakukan oleh ahli keluarga tersebut.

“Kertas siasatan telah lengkap dan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat.

“Sebagaimana yang telah diputuskan oleh kerajaan, sebarang aktiviti ziarah raya adalah tidak dibenarkan.

“Pergerakan merentas sempadan negeri dan daerah juga tidak dibenarkan melainkan dengan kebenaran PDRM.

“Manakala, pergerakan di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah dibenarkan namun aktiviti ziarah raya tetap tidak dibenarkan untuk mana-mana individu sekali pun,” katanya.

[[BACA: Keliru SOP Ziarah Aidilfitri Berubah, Warganet Tuntut Penjelasan Balai Polis Brickfields!]

Dalam pada itu beliau turut memohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pelanggaran SOP, untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.