BERITA
Nenek 92 Tahun Lakukan 200 Tekan Tubi & 100 Bangkit Tubi Setiap Hari
Seorang nenek berusia 92 tahun di China mengejutkan orang ramai apabila melakukan 200 tekan tubi dan 100 bangkit tubi di rumah setiap hari.
Rahsia kekal sihat
Menurut laporan Jianghua TV, warga emas yang dikenali sebagai Li itu mula menjadi perhatian selepas berkongsi rahsia kekal sihat semasa Festival Perubatan Etnik Yao di Daerah Autonomi Jianghua, Hunan, awal Jun lalu.
Menurutnya, dia tekad melakukan 200 tekan tubi setiap hari walaupun pergerakan mungkin tidak sempurna.
“Saya sering bersenam di dalam rumah kerana cuaca kerap hujan dan kurang sesuai untuk aktiviti luar.
“Sebelum ini, saya pernah mengalami masalah kekejangan kaki, namun ia tidak berlaku lagi selepas saya merendam kaki dalam air panas setiap malam,” katanya.
Li, yang pernah berkhidmat sebagai guru tadika selepas tamat pengajian di Changsha pada tahun 1959, berkata keadaan kesihatannya bertambah baik sejak mengamalkan rutin senaman tersebut.
Malah dia juga masih aktif melakukan pergerakan yang biasa dilakukan oleh kanak-kanak kerana minat serta keinginan untuk terus kekal sihat pada usia lanjut.
Ketika ditemui media, Li tanpa ragu menunjukkan keupayaannya dengan melakukan semua rutin senaman, termasuk 100 bangkit tubi di atas katil dan 200 tekan tubi di lantai.
Sumber: Sinar Harian