Pelakon Elfira Loy berkongsi khabar duka apabila nenek kesayangannya, Siti Rokiyah Saad menghembuskan nafas terakhir.

Menerusi laman sosial Instagram, Elfira, 27, memua naik sekeping foto pusara neneknya yang baru dikebumikan dari jauh.

“Assalamualaikum. Alhamdulillah, dah selesai semua proses pengebumian nenek saya pada hari Jumaat yang mulia ini.

“Alfatihah atok, Siti Rokiyah binti Saad,” tulisnya.

A post shared by @elfiraloy


Walau bagaimanapun, Elfira tidak berkongsi lanjut tentang waktu, punca kematian dan lokasi neneknya dikebumikan.

Menerusi perkongsian itu lagi, pemilik nama sebenar Nurul Elfira Loy itu turut meluahkan kata-kata terakhir buat neneknya.

“Atok, Fira sayang atok. Fira takkan lupa doa untuk atok hari-hari. Fira minta pada Allah supaya atok tenang di sana, hiasi kubur seperti di taman syurga.

“Fira minta atok tak rasa keseorangan. Atok tak suka duduk seorang kan. Fira ada di sini. Solat, doa dan sedekah untuk atok,” tulisnya lagi.

Di ruangan komen, ramai rakan selebriti dan wargamaya menitipkan salam takziah buat Elfira serta mengharapkan pelakon telefilem Cik Paris Diva Kampung itu untuk sentiasa kuat dan tabah.

Pada 8 Jun lalu, Elfira berkongsi neneknya dijangkiti COVID-19 dan menerima rawatan serta menjalani kuarantin di sebuah hospital.

Neneknya yang baru menjalani pembedahan kencing manis tidak mengalami simptom teruk pada ketika itu melainkan cuma demam biasa.

Sebelum dijangkiti COVID-19, neneknya telah menerima suntikan dos pertama vaksin Sinovac di Universiti Tunku Abdul Rahman, Sungai Long, Kajang pada 3 Jun lalu.