Kumpulan muzik baru Neon Band berbangga apabila sigle kedua mereka, Hingga Akhir Nanti menjadi lagu runut bunyi untuk drama bersiri.

Hingga Akhir Nanti dipilih menjadi lagu tema untuk drama bersiri Aku Cinta Dia lakonan Aiman Hakim Ridza dan Hannah Delisha.

"Hingga Akhir Nanti merupakan single kedua kami selepas lagu Cinta Yang Telah Mati yang dilancarkan tahun pada 2017.

"Single kedua kami mendapat sentuhan Ippo Hafiz dan dikeluarkan pada Disember lalu. Alhamdulillah, lagu itu terpilih menjadi lagu runut bunyi drama bersiri Aku Cinta Dia yang sedang ditayangkan di TV3.

"Sebagai sebuah kumpulan muzik baru, kami bersyukur kerana mendapat peluang besar seperti ini," kata Ezwan Ariff selaku vokalis.

Selain Ezwan, Neon turut dianggotai oleh Adam Svl (gitaris utama), Shafique Sharif (gitaris kedua), Daniel Firdaus (keyboard), Naim Sapuan (bass) dan Azuad Abdullah (dram).


Sebelum ini, single pertama mereka, Cinta Yang Telah Mati pernah menjadi lagu tema drama bersiri Lafazkan Kalimah Cintamu.

Neon Band juga berharap tahun 2019 membawa tuah kepada kerjaya muzik mereka.

"Kami menyimpan impian agar tahun baru ini membuka jalan untuk kami mengembangkan lagi bakat serta kebolehan.

"Semoga lagu Hingga Akhir Nanti membawa tuah dan rezeki untuk kami di tahun 2019," kata Ezwan lagi.