Band pop rock yang sedang meningkat naik, Neon Band bakal menyaingi kejayaan lagu popular iaitu Aku Budak Girl dengan tampil bersama versi rock menerusi lagu berjudul Aku Budak Boy.

Selain mengenengahkan susunan muzik yang baru, lagu Aku Budak Boy turut menampilkan penyanyi baharu Neon Band iaitu Boy yang merupakan bekas peserta program Suara Viral (SR) yang ditayangkan di saluran Astro Prima tahun lalu.

Sebelum ini, keputusan vokalis lama Neon Band, Ezwan Ariff yang melancarkan single solo berjudul Misteri sejak Disember tahun lalu menimbulkan tanda tanya apakah dia sudah meninggalkan kumpulan itu.

Namun selepas tujuh bulan single solo Ezwan dilancarkan, semuanya sudah terjawab apabila posisinya itu kini diisi oleh Boy.

Sekaligus pembabitan Boy, 33, atau nama sebenarnya Mohd Firdhaus Mahadzir melengkapkan barisan baharu Neon Band yang dianggotai Adam (gitar), Azuad Abdullah (dram), Firdaus (keyboard), Naim (bass) dan Syafique Sharif (gitar).

Menurut Boy, penyertaannya dalam Neon Band adalah secara tidak sengaja selain menyifatkan dia lebih cenderung bergerak bersama kumpulan berbanding secara solo.

“Selepas tamat program SV saya ada berjumpa Abang Lan Adlie. Ketika itu, dia mahu carikan saya single solo.

“Saya okay saja. Sudah ada beberapa lagu tapi berasakan tidak kena dengan jiwa saya. Saya pula kalau boleh memang nak bersama sebuah kumpulan. Jadi, dia pun menyokong hasrat saya itu.

“Kebetulan sebelum masuk SV, saya memang terlibat dengan sebuah band. Namun, bukan rezeki kami untuk bersama.

“Kemudian Abang Lan minta saya cuba cari band yang lain. Kebetulan berjumpa dengan Neon Band dan kami pun jamming bersama. Ketika itu, saya tahu mereka sudah ada vokalis yang terlibat dengan projek solo.

“Dari situ, kami cuba buat lagu sendiri. Tapi, pelancaran lagu ciptaan sendiri ini kami tangguh dulu. Kami fikir daripada tidak buat apa-apa, baik cuba rakaman nyanyian semula atau cover version.

“Ketika kami persembahkan cover version lagu Aku Budak Girl, Abang Lan cukup tertarik dan minta kami buat susunan muzik baru agar berbeza dengan lagu Aku Budak Girl,” jelasnya.

Lagu nyanyian semula Aku Budak Boy yang diinspirasikan daripada lagu Aku Budak Girl nyanyian Suekhaizhar dipertaruhkan sebagai single pengenalan Neon Band bersama penyanyi baru yang diterbitkan Nova Music.

Menariknya lagi, Aku Budak Boy itu merupakan balasan kepada lagu Aku Budak Girl yang mana liriknya lebih berunsur positif dengan memberi semangat kepada Girl dan penyanyi Suekhaizhar yang mendapat kecaman warganet.

Terdahulu, lagu Aku Budak Girl daripada bintang Tik Tok, Suekhaizhar telah menjadi antara lagu paling popular tahun ini dengan pencapaian video #1 paling trending di YouTube untuk satu tempoh yang panjang dan jumlah tontonan video lirik lagu tersebut sebanyak 3.8 juta setakat ini!

Sekadar info, antara lagu yang pernah dihasilkan Neon Band sebelum ini adalah Cinta Yang Telah Mati, Hingga Akhir Nanti, Kaca dan Jiwa.

Aku Budak Boy terbitan Nova Music telah dilancarkan hari Jumaat lalu dan kini boleh didengar di semua pelantar striming muzik.

Video muzik Aku Budak Boy juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos,