HIBURAN
"Neraka Dah Kosong, Semua Syaitan Ada Di Ruangan Komen" - Ibu Puteri Balqis
Ibu kepada pelakon Puteri Balqis, Norashikin Mohd Aziz, tampil meluahkan rasa kecewa dan terkilan terhadap sikap segelintir netizen yang didakwa menghina serta mengeji keluarganya melalui komen-komen kejam di media sosial.
Menerusi satu hantaran panjang di Instagram, Norashikin menegaskan bahawa tidak semua individu yang tampil bertudung atau berjubah benar-benar bebas daripada dosa. Malah, katanya, ramai yang berlindung di sebalik imej keagamaan untuk menghukum orang lain sesuka hati.
“Saya terbaca komen-komen kamu. Simpan hidayah dan kepercayaan karut kamu. Dengar pula hidayah dan kepercayaan daripada kami,” tulisnya.

Norashikin turut mempersoalkan bagaimana ada yang sanggup mentertawakan kemiskinan, menyindir mangsa dera dan mencaci seorang ibu tunggal yang berjuang membesarkan anak dalam keadaan trauma.
“Semuanya merasa layak ke syurga. Mabuk, main perempuan, tapi solat. Terus rasa diampunkan. Bertukar-tukar isteri, tapi berselindung di sebalik nama agama,” tambahnya.
Hantaran itu turut menyertakan beberapa tangkap layar komen netizen yang menghina penampilan dan latar belakang keluarganya, termasuk melabelkan mereka sebagai “homeless” dan “tidak bertudung.”
Sebagai respon, Norashikin menegaskan bahawa walaupun keluarganya bertatu dan memilih gaya hidup berbeza, mereka lebih jujur, setia dan tidak menjatuhkan sesiapa secara terbuka.
“Kami tidak hina orang di ruangan komen. Kami pernah susah dan bangkit semula. Kami sayang haiwan, setia pada satu pasangan dan anak, dan kami tidak berselindung,” ujarnya lagi.
Luahan itu menjadi lebih pedih apabila Norashikin menyifatkan penghinaan yang dilemparkan terhadap keluarganya sebagai cerminan kejahatan manusia bertopengkan moral. Katanya, kematian adalah ‘plot twist’ untuk insan yang dihina di dunia yang mungkin jauh lebih tinggi martabatnya di sisi Tuhan.
Puteri Balqis sebelum ini pernah mencuri perhatian rakyat Malaysia apabila berkongsi kisah hidupnya yang penuh cabaran termasuk bergelut dengan masalah kesihatan dan kesempitan hidup. Kini, sekali lagi kisahnya menjadi perbualan, bukan hanya kerana kesusahannya, tetapi kerana keteguhan keluarganya dalam menghadapi penghinaan masyarakat.“Jangan sampai kamu dan keluarga kamu yang kelihatan suci itu dulu yang disalai dalam neraka. Neraka dah kosong. Semua syaitan ada di sini. Semua syaitan macam kamu, ada di ruangan komen,” katanya.
Must-Watch Video