Hiburan
"Nervous Tapi Teruja" - Dazrin Kamarudin Bakal Jayakan Watak Syed Saddiq
Pelakon Dazrin Kamarudin meluahkan rasa teruja apabila ditawarkan watak dalam filem 'Mahathir, The Journey'.
Dalam filem terbabit, Dazrin membawakan watak Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
"Saya rasa gementar, tapi dalam masa yang sama, saya rasa sangat teruja. Watak tokoh politik muda seperti Syed Saddiq pastinya bukan mudah untuk saya jayakan.
"Sebelum ini, saya sudah beberapa bulan menjalani proses penurunan berat badan secara perlahan-lahan, tetapi apabila mendapat tawaran untuk menjayakan watak ini sebulan lalu, saya berusaha dengan lebih kuat lagi untuk menurunkan berat badan," katanya.
Tambah Dazrin, dia juga menggunakan YouTube sebagai salah satu cara untuk mengkaji watak terbabit.
"Saya banyak menonton video bagaimana beliau berucap, cara beliau bercakap. Semuanya saya perhatikan untuk menjayakan watak berkenaan.
"Saya juga menyimpan hasrat untuk bertemu dengan Syed Saddiq sebelum penggambaran filem ini berlangsung bulan depan," katanya lagi.
Dazrin ditemui di majlis sidang media filem 'Mahathir, The Journey' arahan Profesor Dr Hatta Azad Khan di Sheraton Petaling Jaya, baru-baru ini.
Filem 'Mahathir, The Journey' menampilkan kisah Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003 sehingga dilantik semula pada 2018.
'Mahathir, The Journey' yang menelan bajet sebanyak RM6 juta akan memulakan penggambaran pada bulan Disember hadapan.
Selain Dazrin, barisan pelakon filem terbabit ialah Azhar Amir (Tun Dr Mahathir Mohamad), Fauziah Latiff (Tun Dr Siti Hasmah), Hilal Azman (Datuk Seri Anwar Ibrahim), Dian P Ramlee (Datuk Seri Wan Azizah), Lisdawati (Nurul Izzah), Ning Baizura (Datin Paduka Marina Mahathir), Afieq Hussain (Datuk Seri Mukhriz Mahathir), Harminder Singh (Gobind Singh Deo) dan ramai lagi.
Ia akan menjalani penggambaran di Putrajaya, Kedah, Kelantan dan Hiroshima, Jepun.
Must-Watch Video