Laman Utama
Netizen Berkongsi Pendapat Sama Ada Berbaloi Keluarkan RM10K Daripada KWSP Atau Tidak - “Simpanan Itu Duit Anda…”
Sejak pengumuman kebenaran pengeluaran khas simpanan Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 baru-baru ini, pelbagai reaksi diberikan oleh orang awam, khususnya pengguna media sosial.
Menerusi tinjauan di laman sosial Twitter, ada yang memberikan pendapat untuk menggunakan peluang yang ada bagi menikmati wang simpanan sendiri.
Seorang pengguna Twitter menulis: “Jika anda berusia 30 tahun dan merancang untuk mengeluarkan RM10,000 daripada KWSP, keluarkan sahaja. Ya, wang tersebut mungkin bertambah menjadi RM50,000 pada usia anda 60 tahun tetapi siapa yang kata anda mampu sampai ke usia 60 tahun.
“Tambahan pula, ia bersamaan dengan RM1,300 setahun. Simpanan itu duit anda. Buatlah apa yang anda mahu dengannya. Sementara anda masih hidup dan sihat,” tulisnya.
Sementara itu, ada juga yang ‘mengkritik’ jika seseorang menyalahgunakan wang simpanan KWSP yang dikeluarkan itu.
“Jika orang ramai menyalahgunakan wang tersebut membeli kereta, baiki rumah dan melakukan sesuatu yang tidak memberikan mereka imbuhan dalam jangka masa panjang, hanya kepuasan sementara, ia akan menjadi masalah besar.
“Ramai orang tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang kewangan yang betul untuk memahami hal ini, jadi mereka akan terus berada dalam situasi untuk meraih kemewahan tetapi dalam keadaan yang sukar,” katanya.
Sementara itu, terdapat seorang wargamaya yang bertanya kepada pengguna Twitter, apakah yang ingin mereka lakukan selepas pengeluaran wang daripada KWSP.
Ada yang menjawab ingin melangsaikan hutang dan menggunakan wang tersebut sebagai investment pada masa akan datang.
Terdahulu, menerusi laporan Astro Awani, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kebenaran mengeluarkan simpanan tersebut merupakan keputusan sukar yang terpaksa dibuat oleh kerajaan memandangkan KWSP melibatkan simpanan hari tua rakyat.
Namun begitu, beliau menjelaskan, kerajaan sedia maklum pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.