BERITA
Netizen Cadang Nak Tukar Juri GV Musim Depan... Ini Jawapan Ibu Khaty
Sepanjang Gegar Vaganza musim kelima (GV5) berlangsung, ada segelintir netizen yang meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan juri tetap, Datuk Khadijah Ibrahim.
Mesra disapa sebagai Ibu Khaty, ada yang mengusulkan agar tempatnya ditukarkan dengan juri lain serta ada yang membandingkannya dengan juri tetap musim lalu, Hetty Koes Endang.
Tidak melenting dengan cadangan terbabit, Ibu Khaty mempunyai pandangan tersendiri mengenai perkara yang cuba dibangkitkan oleh sesetengah netizen.
"Saya terbuka dengan pandangan, tetapi biarlah kritikan yang diberikan itu bersifat positif dan sesuatu yang membina.
"Ada cadangan mahu menukar juri? Tak mengapa... Saya tak mempunyai masalah jika ada yang mahu membandingkan serta membezakan saya dengan orang lain.
"Mereka sudah tahu, saya berada dalam industri seni lebih daripada 40 tahun.
"Jika mereka bertemu seseorang yang boleh memberikan pandangan yang lebih baik daripada saya atau mereka jumpa seseorang yang lebih layak berada di kerusi juri, kenapa tidak?
"Bagi saya, secara peribadi, saya okay sahaja. Bagaimanapun, saya tak mahu mereka letak seseorang yang tak faham dan hanya bercakap semata-mata tapi tidak boleh membantu mereka," katanya.
Dalam pada itu, Ibu Khaty juga mengakui dia tidak kisah menerima komen negatif.
"Sejujurnya, saya tak kisah dan tak ambil peduli pun jika ada pihak yang memberikan komentar berbaur kritikan negatif kepada saya.
"Sebenarnya, saya memang tak membaca dan mendengar komen negatif. Saya bersyukur jika ada yang memberikan respon positif dan lebih suka menerima kritikan yang membina.
"Untuk apa saya membaca komen yang tak membina dan menjatuhkan? Lebih baik saya tumpukan perhatian kepada perkara yang baik.
"Jika ada pihak yang berkata negatif, saya hanya membiarkannya sahaja... Dosa mereka yang dapat," katanya.
Selain Ibu Khaty, pengarah muzik tersohor, Datuk Ramli MS turut menggalas tugas sebagai juri tetap GV5.
GV5 telah bersiaran selama lapan minggu secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.
Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.
Must-Watch Video