Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Netizen Dipenjara 6 Bulan Kerana Sebar Fitnah Anggota Girls' Generation, Sunny

Kamaruddin Razal
21/10/2019 20:29 MYT
Angkara menyebarkan khabar angin yang tidak benar tentang salah seorang ahli Girls' Generation, Sunny, yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan pelakon Lee Seo-Jin, seorang netizen telah menerima hukuman penjara enam bulan, lapor Astro Awani.

Mahkamah Daerah Daejeon, Korea Selatan pada Jumaat mendapati individu yang dikenali sebagai ‘A’ itu bersalah kerana menyebarkan maklumat yang tidak benar berkenaan kehidupan peribadi selebriti tersebut di ruangan laman web yang mempunyai lebih sejuta pengikut.

Bagaimanapun, hukuman penjara enam bulan itu digantung selama dua tahun, dan itu bermakna pihak yang bersalah itu akan menjalani tempoh percubaan untuk jumlah masa itu.

Oleh itu, pesalah akan menjalani hukuman penjara selama enam bulan jika didapati bersalah melanggar syarat-syarat tertentu.

Pada masa sama, pihak mahkamah turut memerintahkan pesalah menjalani aktiviti masyarakat selama 80 jam atas kesalahan menyebar fitnah itu.

Pada tahun lalu, netizen itu menulis sebuah mesej di sebuah ruangan komuniti secara atas talian yang menyatakan "Lee Seo Jin dan Sunny mempunyai hubungan istimewa semasa sesi penggambaran bersama. Semua kakitangan juga tahu."

Ekoran itu, pelakon yang terkenal dengan program realiti ‘Three Meals A Day’ and ‘Grandpa Over Flowers’ bertindak untuk mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan maklumat tersebut adalah palsu.

Sumber: Astro Awani
#Girls' Generation #Sunny