Penyanyi Masya Masyitah baru sahaja melancarkan klip video bagi single terbaharunya, Simpanan pada 19 Ogos lalu.

Menerusi lagu yang berentak rancak itu, Juara Ceria Popstar Musim Kedua itu dilihat mengenakan beberapa persalinan pakaian yang sedikit eksentrik, selain ligat menari mengikut irama.

Meninjau komen-komen dan respons yang ditinggalkan di Youtube, ramai memuji lagu baharu yang dirakamkan oleh Masya dan dilabel sebagai lebih segar dan kekinian.

Dalam masa sama, penerbitan klip video tersebut juga turut dipuji kerana kelihatan kemas dan juga cantik.



“MV nampak mahal, color sharp dan ala-ala MV K-Pop. Suara Masya Masyitah memang powerful. Lagu pun mantap. Tahniah semua yang terlibat dengan single ini.”

“Oh wow.. Mantaplah sis. Suka sangat lagu ni. Rancak gitu. Saya juga suka tengok outfit yang kamu pakai dalam muzik video ni.”

Begitupun, ada juga dalam kalangan pendengar yang kurang senang dengan imej baharu Masya dalam klip video berkenaan.

“Sedap lagu dia, segar dan buat tubuh nak menari sama… Macam lagu Syamel, Halusinasi. Cuma secara peribadi aku kurang gemar imej yang ditampilkan Masya… bertudung tapi bertindik hidung? Seriously? Apa pun tahniah buat seluruh pasukan Simpanan teruskan berkarya dengan lagu-lagu segar sebegini.”

Meninjau pula ruangan komen di Instagram, ramai juga yang melahirkan rasa kecewa terhadap pemilihan pakaian yang dikenakan oleh Masya.



“Pemilihan baju tolong tapis lagi sister. Please.”

“Walaupun ada baju di dalam, tapi macam tak sesuai baju pink tu ubtuk hijabis. Sorry Masya.”

Usaha Gempak untuk mendapatkan kenyataan daripada Masya masih lagi belum berhasil. Difahamkan, Masya kini berada di luar negara.