Netizen Persoal Aneh Bawa Optimus Prime & Bumble Bee Atas Pentas, JAKIM Tampil Beri Penjelasan Konsep Persembahan Khas Sambutan Maal Hijrah
Mya Amri
09/07/2024 04:03 MYT
09/07/2024 04:03 MYT
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tampil memberikan penjelasan susulan isu konsep persembahan khas sempena sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan yang berlangsung baru-baru ini.
Penjelasan konsep persembahan
Konsep persembahan yang menambilkan dua buah robot menyerupai karakter terkenal iaitu Bumble Bee dan Optimus Prime itu ternyata teruk dikriktik selain menjadi tanda tanya netizen mengenai pemilihan konsep untuk sambutan Maal Hijrah itu sendiri.
JAKIM menerusi kenyataan rasmi di akaun Instagram menjelaskan konsep yang dipilih itu memberi penekanan mengenai Tafsir Ilmi Kejadian Langit dan Bumi.
“Persembahan khas yang ditampilkan sempena Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1446H/2024M memberi penekanan mengenai Tafsir Ilmi Kejadian Langit & Bumi yang membawa maksud tafsir yang membincangkan tentang perkara-perkara saintifik dan ilmiah di dalam metafora ayat-ayat al-Quran.
"Menyelusuri perjalanan Tafsir Ilmi merupakan perjuangan untuk memfokuskan seluruh pancaindera mengakui keagungan Ilahi berlandaskan Al-Quran.
“Konsep persembahan turut menunjukkan keindahan cakerawala yang dihiasi dengan galaksi dan sistem suria yang merupakan fenomena alam semesta yang menakjubkan.
“Sesungguhnya kewujudan ini membuktikan tanda kekuasaan dan kebijaksanaan Allah SWT sebagai Maha Pencipta.
“Eksplorasi ini dapat mengacu akal pada batas pengetahuan, minat dan pengalaman sebagai inspirasi untuk menjelajahi kehidupan dan meningkatkan keimananan dalam diri.
“Tindakan untuk mengkaji dan berfikir tentang penciptaan langit dan bumi dan proses-proses yang berkaitan dengannya tidak dapat dipisahkan daripada sains dengan menggunakan pendekatan yang saintifik, sebagaimana yang telah dilakukan oleh saintis Muslim sebelum ini.
“Al-Quran mendorong umat Islam untuk banyak mengkaji dan hal ini banyak berkait dengan penerokaan ilmu terutama dalam bidang sains tambahan pula kita berada di zaman revolusi 4.0 @ IR4.0, dengan ledakan automasi, digital dan fizikal siber kini menguasai manusia.
“Sains telah banyak memberikan sumbangan bermakna kepada peradaban manusia. Dan sudah tentu umat Islam merupakan peledak kepada ilmu sains moden yang berkembang hingga ke hari ini,” jelas kenyataan itu.
BERITA TRENDING: “Inilah Sikap Orang Kita Tak Boleh Tengok Berjaya” - Isu Chef Ammar, Caprice Cadang JAKIM, JAIS Tubuh Unit Banteras Sihir
BERITA TRENDING: JAKIM Perjelas Dakwaan Video Tular Jemaah Lelaki, Wanita Solat Bercampur Saf
BERITA TRENDING: Tindakan Dua Wanita Langkah Kubur Dirujuk Jakim, Mufti
BERITA TRENDING: THSS: Stacy Tak Marah Orang Kata Menari Nampak Mengah - “Memang Betul Benda Tu Kena Jaga”
BERITA TRENDING: Ibu Solat Hajat, Bapa Ziana Zain Video Call Mahu Lihat Baju & Solekan
Sebagai peringatan
Dalam hantaran yang sama JAKIM juga menegaskan konsep persembahan itu juga merupakan sebagai peringatan kepada manusia yang adakalanya menjadi alpa kerana terlalu mengejar arus kemodenan.
“Konsep persembahan turut membawa peringatan bahawa dalam penciptaan langit dan bumi, manusia adakalanya sering terlupa akan kekuasaan zat Allah SWT sebagai penakluk semesta.
“Kealpaan manusia mengejar arus modenisasi menjadikan adakalanya menjadi manusia khilaf akan batasan akal dan hukum alam.
“Tuntasnya, sebagai khalifah di muka bumi ini, adalah menjadi kewajiban kita untuk melestarikan alam sekitar dan menguruskan khazanah yang diamanahkan oleh Allah SWT.
“Sains dan teknologi bukanlah musuh peradaban tetapi medium keharmonian jika disantuni dengan bijaksana.
“Konsep persembahan juga menunjukkan bahawa kemajuan perlulah berlandaskan Al-Quran yang mana kemajuan yang tidak dilengkapi nilai agama akan menimbulkan kehancuran dan kemusnahan kepada alam,” tegasnya.
Pergerakan tari influens seni mempertahankan diri
Dalam pada itu, JAKIM juga turut mengulas mengenai pergerakkan tarian yang dikatakan tidak bersesuaian dengan konsep Maal Hijrah.
“Pergerakan tari yang dipersembahkan pula adalah mengambil influens dari seni mempertahankan diri seperti silat, pergerakan kemudiannya dikreasikan mengikut lirik lagu menggambarkan kejayaan.
“Dalam menuju arus kemodenan, jati diri tetap tidak dilupakan sebagai bekalan menghadapi cabaran semasa,” jelasnya.
Berikut merupakan kenyataan penuh JAKIM:
Terdahulu, netizen meluahkan rasa kesal melihat persembahan khas sempena sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.
Rata-ratanya mengatakan konsep yang ditonjolkan itu tidak bersesuaian dengan nama Maal Hijrah itu sendiri.