New Zealand merekodkan empat kes baharu COVID-19 selepas 102 hari tanpa penularan tempatan, lapor AWANI.

Perdana Menteri Jacinda Ardern mengumumkan kesemua kes melibatkan satu keluarga di bandar terbesar negara itu, Auckland.

Keluarga terbabit dilaporkan tidak keluar negara dan punca jangkitan masih dalam siasatan.

Tambahnya Perintah Kawalan Pergerakan peringkat tiga akan dikenakan di Auckland semasa siasatan dijalankan.

"Kami masih tidak dapat menentukan punca jangkitan kepada kes ini," beliau berkata dalam sidang media di Wellington pada Rabu.

Semua sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak akan ditutup bermula Rabu.

Tiada penularan tempatan dilaporkan di New Zealand selama lebih tiga bulan dan penduduk telah menjalani kehidupan seperti biasa.

Kesemua 22 kes sebelum ini merupakan kes import dan mereka telah ditempatkan di pusat kuarantin yang ditetapkan.

Sumber : Astro AWANI // Rosmanizam Dali