Isu orang awam yang masih berdegil keluar rumah ketika krisis COVID-19 pastinya telah mendapat perhatian ramai pihak.

Baik artis mahupun orang awam, masing-masing mengambil peranan untuk memberi kesedaran terhadap Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Namun, bagi seorang individu ini, dia telah mengambil pendekataan yang lebih kreatif apabila mengolah lagu 7 Nasihat daripada penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Malah, video yang dimuat naik di Facebook Hanif Mohd Jaffar ini telah menerima 14,900 tontonan dan 1,100 perkongsian.

Menceritakan kisah berkenaan kepada Gempak, Hanif berkata, idea tersebut tercetus apabila dia menonton video Siti Nurhaliza atau Tokti menyanyi lagu 7 Nasihat yang telah diubah liriknya.

"Waktu dengar lagu tu, saya rasa ia menarik untuk remix sebab tokti nyanyi tanpa 'backing track'. Tambahan, pitch n tempo dia perfect, so tak perlu edit banyak.

"Lagu tu saya remix dalam 1 malam, kebanyakan part backing track. Lirik tu saya buat hujung-hujung dalam setengah jam buat sebab guna ayat yang mudah," katanya,

Tambah pegawai bank ini lagi, ini kali pertama dia membuat remix berkenaan menggunakan lagu kepunyaan Tokti dan tidak menyangka ia menjadi viral.

"Sebelum ni saya hanya buat lagu sendiri, 2 kali setahun untuk hari jadi wife dan ulang tahun kami.

"Saya harap dengan viralnya lagu ini dapatlah memberi kesedaran kepada orang ramai untuk kekal tinggal di rumah dan patuhi arahan kerajaan," katanya kepada Astro Gempak.

Bagi yang belum dengar lagi 7 Nasihat versi hanif ini, anda boleh tonton video di bawah.

Untuk rekod, 7 Nasihat merupakan ciptaan rapper, komposer dan penerbit yang semakin meningkat naik iaitu pasangan duo Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Lagu tersebut dilancarkan di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music pada 20 Februari lalu.